
Pejabat Perdana Menteri menerusi satu kenyataan berkata antara lebuh raya yang terlibat ialah Lebuhraya Utara Selatan termasuk Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (Link Kedua).
Selain itu, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang (JPP) juga tersenarai.
Ia berkata apabila langkah ini dilaksanakan, kadar tol baru ini lebih rendah berbanding kadar tol pada 1999 iaitu 11.24 sen/km.
“Kadar tol di Lebuhraya Utara Selatan akan berkurang daripada 13.6 sen/km kepada 11.15 sen/km.
“Kadar tol Jalan Duta ke Alor Setar akan ditetapkan kepada RM45.50 berbanding RM55.50, manakala kadar tol Jalan Duta ke Skudai menurun kepada RM38.50 daripada RM47.00 sekarang ini,” menurut kenyataan itu.
Semalam, Putrajaya memutuskan untuk tidak meneruskan penjualan konsesi lebuh raya PLUS Malaysia Berhad.
Perdana Menteri Dr Mahathir berkata, syarikat konsesi itu juga dikehendaki mengurangkan kadar bayaran tol sebanyak 18% dan mengekalkannya di semua lebuh raya PLUS untuk tempoh masa 30 tahun.
“Kita akan laksanakan ia terus pada kadar 18% bermula tahun ini,” kata Mahathir ketika ditanya adakah penurunan kadar tol itu akan dibuat secara berperingkat.
Kenyataan itu juga berkata tempoh konsesi untuk semua Lebuhraya PLUS akan dilanjutkan selama 20 tahun dari 2038 ke 2058 bagi memastikan ia mampu menjalankan
kegiatan penyelenggaraan dan operasi lebuh raya tanpa bergantung kepada kerajaan.
“Kerajaan tidak lagi akan menanggung beban membayar pampasan kepada PLUS, di mana kerajaan bakal mendapat penjimatan yang dianggarkan sebanyak RM42 billion
sepanjang tempoh konsesi tersebut.
“PLUS juga kekal sebagai pengendali dan akan terus
memegang aset dan liabiliti syarikat serta mengurus pembiayaan kos operasi dan penyelenggaraan,” menurut kenyataan itu.