
Beliau berkata, rakyat tidak perlu termakan tohmahan pembangkang bahawa kerajaan memungkiri janji telah dibuat, sambil menekankan penurunan harga bahan api itu dijanjikan turun sebelum akhir September.
“Ada yang marah harga minyak belum turun walaupun sudah September, sebelum ini saya kata sebelum akhir September, kalau 10 Sept belum akhir bulan lagi, jadi sabarlah, tunggu sekejap sama ada akan turun atau tidak,” katanya menurut Utusan Malaysia di Johor Bahru.
Pada 23 Julai lalu, perdana menteri mengumumkan RON95 akan turun lebih rendah kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter selepas penyasaran subsidi.
Anwar, yang juga menteri kewangan, membayangkan warga asing mungkin membayar antara RM2.50 hingga RM2.60 bagi RON95, selepas penyasaran subsidi berkuat kuasa.
“Tetapi, rakyat hanya bayar RM1.99 sahaja. Tengoklah mana-mana negara lain, mana ada yang turun harga minyak, tiada,” katanya ketika berucap pada program Rapat Umum 27 Tahun Reformasi Peringkat Negeri Johor.
Katanya, perkara tersebut boleh dilaksanakan ketika ini adalah disebabkan pentadbiran kerajaan persekutuan hari ini peduli dan cakna keluhan masyarakat.
“Sebab apa kita boleh (turunkan harga minyak), sebab kita perintah. Kerajaan ini fikirkan rakyat, apabila kita sudah berjanji kita akan tunai. Sebelum ini kita kata hari ini tubuh kerajaan, esok turun harga minyak, tetapi ambil masa satu atau dua tahun, turun juga kan.”
Sementara itu, beliau berkata langkah kerajaan memberikan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 telah memberikan kegembiraan kepada rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang ekonomi mereka.
“Bantuan ini bukan sahaja kepada golongan B40 dan M40, tetapi juga kepada golongan profesional. Sekurang-kurangnya kita ingat semua rakyat Malaysia, nanti kita tengok ya (untuk tambah nilai),” katanya.