
Tarikh 26 Julai 2025 bakal mencatat satu lagi episod panas politik negara. Seruan untuk ‘Turun Anwar’ kedengaran lantang daripada barisan pembangkang, konon atas nama perjuangan rakyat. Namun dalam dunia politik, tidak semua yang tampak itu benar. Persoalan yang harus ditanya: adakah himpunan ini benar-benar mewakili rakyat, atau sekadar percaturan politik yang tersalah waktu? Dan akhirnya, siapa sebenarnya yang akan untung?
Strategi politik atau strategi silap?
Seruan untuk menjatuhkan perdana menteri sebelum tamat tempoh Parlimen bukan sesuatu yang asing. Ia pernah berlaku sebelum ini — tetapi tidak semuanya berhasil. Dalam sejarah Malaysia, himpunan terbesar Reformasi 1998 yang menuntut keadilan buat Anwar Ibrahim sendiri berlaku dalam konteks kezaliman, penyingkiran politik yang drastik, dan tiadanya saluran alternatif ketika itu.
Namun, hari ini konteksnya berbeza. Pembangkang ada ruang bersuara di Parlimen. Ada saluran media sosial bebas. Tiada tekanan melampau daripada pihak berkuasa terhadap aktiviti politik seperti dahulu. Maka, bila jalan raya dijadikan pentas, ia akan dilihat oleh ramai sebagai langkah keterlaluan — apatah lagi ketika kerajaan baru sahaja melepasi fasa dua tahun lebih dengan mandat peralihan pasca PRU15 yang rumit.
Kita harus jujur: himpunan yang terlalu awal, terlalu lantang, dan terlalu sarat emosi — mudah kelihatan gelojoh. Gelojoh dalam politik bukan tanda kekuatan, ia petanda hilangnya strategi dan ketahanan. Dan rakyat hari ini semakin celik membaca sifir politik.
Rakyat letih dengan politik jalanan
Majoriti rakyat hari ini sudah letih — bukan sekadar dengan retorik politik, tetapi gaya lama yang tidak membawa perubahan. Pasca pandemik Covid-19, dengan tekanan ekonomi global, gaji yang tidak meningkat, dan kos kehidupan yang mencanak naik, mereka mahu kestabilan. Mereka mahu penyelesaian. Mereka mahu pemimpin yang fokus bekerja, bukan berarak di jalanan membawa sepanduk.
Seorang penjaja kecil yang saya temui di Semenyih, Selangor, baru-baru ini menyuarakan rasa hatinya:
“Kami nak jualan stabil, harga barang turun. Bukan nak tengok orang politik bergaduh lagi. Bila nak selesai kalau asyik nak tukar kerajaan?”
Suara seperti ini bukan satu dua. Ia menggambarkan denyut nadi sebenar — bahawa politik negara perlu berubah arah. Bukan lagi mengulangi skrip lama konon ‘demi rakyat’ tetapi sebenarnya menjaja kuasa.
Persepsi: Kerajaan lebih stabil bila diserang
Ironinya, serangan berlebihan terhadap kerajaan perpaduan — terutama perdana menteri — boleh mengukuhkan lagi kedudukannya. Beliau kini tampil dengan watak tenang, menjawab kritikan dengan data dan fakta. Dalam budaya politik Malaysia, apabila seorang pemimpin diserang secara keterlaluan, wujud kecenderungan rakyat memberikan simpati — bukan kerana bersetuju sepenuhnya, tetapi kerana benci pada kegelojohan pihak lawan.
Semakin keras seruan ‘Turun Anwar’ dilaungkan, semakin besar ruang beliau menunjukkan kebijaksanaan berdiam diri. Dan dalam politik, kadang-kadang yang diam itulah sedang menang. Sebagaimana kata pepatah Arab: as-sukut min al-hikmah — diam itu sebahagian daripada hikmah.
Zaman dah berubah – rakyat mahu solusi bukan sensasi
Kita juga perlu akui bahawa zaman telah berubah. Rakyat bukan lagi semudah dahulu untuk ditarik menyertai gerakan jalanan. Mereka lebih berhati-hati. Lebih analitikal. Mereka menilai bukan hanya siapa yang bercakap, tetapi apa yang dibawa. Siapa yang tampil dengan dasar, bantuan, dan program. Bukan siapa paling lantang di mikrofon.
Media sosial hari ini memainkan peranan besar dalam membentuk persepsi. Rakaman himpunan mudah disunting, disalah tafsir, dijadikan bahan ‘spin’. Sekeping gambar atau sepuluh saat rakaman boleh membunuh kredibiliti seseorang pemimpin dalam sekelip mata. Maka strategi jalanan bukan sahaja berisiko tinggi, malah boleh makan tuan jika tidak dikawal naratifnya.
Himpunan yang mungkin jadi senjata makan tuan
Berdasarkan sejarah politik Malaysia dan rantau ini, himpunan sebegini selalunya hanya memberi manfaat jangka pendek — mungkin mencetuskan sedikit kegemparan media, tetapi jarang sekali mengubah landskap kuasa kecuali jika benar-benar besar dan disokong rakyat pelbagai lapisan. Jika himpunan 26 Julai nanti gagal menunjukkan skala yang besar, ia akan menjadi modal kerajaan untuk menunjukkan bahawa pembangkang sudah kehilangan sokongan rakyat. Dan lebih malang, himpunan itu akan dilihat sebagai usaha terakhir yang terdesak.
Sebagaimana PRU14 dahulu yang menyaksikan kejatuhan rejim panjang Barisan Nasional, ia berlaku bukan dengan laungan semata-mata, tetapi dengan strategi tersusun, rundingan yang luas, dan pembentukan naratif harapan — bukan kebencian.
Pengundi muda dan atas pagar: faktor sering diabai
Dalam mana-mana pertembungan politik, golongan pengundi muda dan atas pagar memainkan peranan yang sangat besar. Mereka tidak fanatik kepada mana-mana parti, tidak mudah terpukau dengan slogan, dan biasanya lebih tertarik kepada kredibiliti, bukan kontroversi.
Golongan ini telah menjadi penentu dalam beberapa PRU terdahulu — termasuk PRU14 dan PRU15. Namun begitu, ramai dalam kalangan mereka hari ini sudah kecewa dengan sikap ‘gila kuasa’ oleh ahli politik yang dilihat mementingkan diri daripada rakyat.
Jika kelompok ini melihat pembangkang sebagai terlalu ghairah menjatuhkan kerajaan yang baru setahun jagung memimpin, maka kesannya bukan hanya kegagalan himpunan, tetapi mungkin kehilangan undi yang selama ini rapuh dan belum dimiliki sepenuhnya.
Golongan muda mahu bukti, bukan bunyi.
Realiti yang wajar difahami rakyat
Dalam banyak aspek, kerajaan semasa tidak menafikan wujudnya tekanan hidup rakyat — kenaikan harga barang, ketidakstabilan nilai mata wang, kos sara hidup tinggi, dan impian masa lalu seperti menghapuskan hutang PTPTN atau menurunkan harga minyak. Namun, semua ini tidak berlaku dalam ruang vakum.
Isu seperti harga minyak dunia, inflasi global, krisis geopolitik, dan perang perdagangan antara kuasa besar — semuanya memberi kesan langsung kepada ekonomi Malaysia yang terbuka. Maka adalah tidak realistik untuk mengukur kemampuan sebuah kerajaan hanya dengan menagih janji semasa berkempen, tanpa memahami keterbatasan realiti pasca pandemik dan pasca PRU15.
Apa yang lebih penting sekarang ialah kesungguhan untuk memperbaiki keadaan. Dan di sinilah terletaknya beza — sama ada kita memilih untuk membina atau terus menekan. Dalam diam, banyak juga yang sedang dilakukan: usaha menambah peluang pekerjaan, pelaburan asing yang meningkat, pemberian insentif kepada golongan rentan, dan perundingan global yang strategik.
Kerajaan hari ini sentiasa mencari ruang untuk meringankan beban hidup rakyat. Bukan semua janji boleh ditunaikan serta-merta, tetapi niat dan usaha ke arah itu jelas kelihatan. Maka adalah lebih bijak untuk rakyat memberi ruang kepada kestabilan — kerana dalam suasana aman dan damai, kita lebih mampu membina negara yang makmur dan sejahtera untuk semua.
Politik bukan sekadar siapa paling bising
Akhirnya, politik bukan tentang siapa paling bising, paling ramai penyokong di jalanan, atau paling banyak menaikkan poster. Ia tentang siapa paling sabar, paling bersedia, dan paling strategik membaca masa dan kehendak rakyat.
Himpunan 26 Julai ini akan berlalu. Tetapi kesannya akan berpanjangan — sama ada menambah simpati kepada perdana menteri yang diserang keterlaluan, atau menambah luka kepada pembangkang yang dilihat gagal menilai sentimen rakyat sebenar.
Dalam sejarah, banyak kerajaan jatuh bukan kerana himpunan, tetapi kerana hilang kepercayaan rakyat secara senyap. Dan banyak pembangkang gagal bukan kerana tiada penyokong, tetapi kerana gagal memenangi hati yang diam.
Dan dalam diam itulah, letaknya laba yang sebenar.
Mohamed Nasser Mohamed ialah karyawan dan editor perunding terbabit dengan lebih 150 penerbitan sejak 2008.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.