Pemandu lori parah bas ekspres rempuh 2 kenderaan

Pemandu lori parah bas ekspres rempuh 2 kenderaan

Kejadian di KM220.5 PLUS arah utara itu berlaku apabila bas ekspres berkenaan dilaporkan merempuh dua lori.

Pemandu lori yang cedera parah selepas tersepit dalam kenderaannya berjaya dikeluarkan anggota bomba sebelum dikejarkan ke Hospital Rembau untuk rawatan lanjut.
PETALING JAYA:
Seorang pemandu lori cedera parah dalam satu kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan dua lori di KM220.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di Alor Gajah, Melaka pada awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira 1 pagi itu berlaku apabila bas ekspres yang membawa sembilan penumpang merempuh sebuah lori treler dan sebuah lori tujuh tan, lapor Sinar Harian.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba Melaka Zulkhairani Ramli berkata, kejadian itu menyebabkan pemandu lori tujuh tan berusia 23 tahun tersepit di tempat duduk sebelum berjaya dikeluarkan anggota penyelamat.

“Pemeriksaan mendapati pemandu bas ekspres berusia 64 tahun dan sembilan penumpang terselamat. Pemandu lori treler berusia 56 tahun turut terselamat,” katanya.

Ujarnya, mangsa yang cedera parah dan tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Rembau.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.58 pagi dan tiada sebarang masalah dilaporkan sepanjang operasi dijalankan,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.