BUDI95 lebih telus, manfaat hanya kepada warganegara

BUDI95 lebih telus, manfaat hanya kepada warganegara

Rakyat sambut baik pengumuman perdana menteri dan menyifatkan program BUDI95 ringankan kos sara hidup selain elak ketirisan subsidi kepada warga asing.

Petrol 95
Harga RON95 akan dikurangkan kepada RM1.99 seliter mulai 30 Sept bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95).
PETALING JAYA:
Penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter bukan sahaja meringankan beban malah memastikan subsidi benar-benar sampai kepada warganegara.
Azman Mashudi.

Peniaga, Azman Mashudi, 55, berkata manfaat itu berbeza dengan sebelum ini yang turut dinikmati warga asing menggunakan kenderaan berdaftar di Malaysia.

“Sebelum ini, warga Singapura atau negara lain pun boleh dapat minyak kita dengan harga murah. Sekarang, rakyat Malaysia sahaja layak guna subsidi. Bagi saya harga RM1.99 ini sangat berbaloi,” katanya kepada FMT.

Katanya, penjimatan sehingga 6 sen seliter mampu memberi kesan besar kepada perbelanjaan isi rumah yang menggunakan puluhan liter petrol setiap bulan dan wang lebihan itu boleh disalurkan untuk kegunaan lain.

Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan harga RON95 akan dikurangkan kepada RM1.99 seliter mulai 30 Sept bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95).

Beliau berkata, semua warganegara berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah layak menikmati harga subsidi itu dengan pengesahan dibuat menggunakan MyKad, mekanisme sama penyaluran bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Katanya, setiap rakyat Malaysia layak menggunakan 300 liter RON95 sebulan, tetapi perkhidmatan e-panggilan dikecualikan had penggunaan.

Bawah sistem baharu itu, bukan warganegara dan individu tanpa kelayakan akan dikenakan harga pasaran tanpa subsidi sekitar RM2.60, lebih tinggi berbanding harga semasa RM2.05.

Sebagai penghargaan khas, seramai 300,000 anggota tentera dan polis akan menerima manfaat itu lebih awal bermula 27 Sept, diikuti sembilan juta golongan B40 yang layak menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 Sept.

Manakala, pada 30 Sept sistem baharu itu akan dibuka kepada semua 16 juta rakyat Malaysia, dengan pelaksanaan BUDI95 dijalankan secara berperingkat untuk memastikan kelancaran sistem tanpa lonjakan mendadak penggunaan.

Dominic Hau.

Sementara itu, pekerja swasta, Dominic Hau, 36, berkata sebagai pengguna jalan raya yang berulang-alik dari rumah ke tempat kerja penjimatan tersebut sedikit-sebanyak membantu mengatasi tekanan kewangan.

Jismi Ahmad Tajudin.

“Pengurangan harga minyak ini bagi saya dapat mengurangkan beban,” katanya.

Pesara, Jismi Ahmad Tajudin, 66, berkata pengumuman perdana menteri memberi manfaat kepada rakyat terbanyak namun menekankan kepentingan ketelusan dalam sistem subsidi menggunakan MyKad, supaya tidak berlaku ketirisan atau salah guna dokumen pengenalan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.