Majlis Eropah gesa siasatan teliti berhubung pesawat Ukraine terhempas

Majlis Eropah gesa siasatan teliti berhubung pesawat Ukraine terhempas

Pesawat Boeing 737-800 terhempas sejurus berlepas dari lapangan terbang di Tehran beberapa jam selepas serangan roket yang menyasarkan tentera AS di Iraq.

176 orang terkorban dalam nahas pesawat Ukrainian International Airlines. (Gambar AP)
BRUSSELS:
Presiden Majlis Eropah (EC) Charles Michel menggesa agar satu siasatan teliti dan telus dilakukan berhubung nahas pesawat penumpang milik Ukrainian International Airlines yang terhempas di Iran pada Rabu, lapor agensi berita Turki Anadolu.

“Saya menyokong gesaan Presiden (Ukraine Volodymyr) Zelensky serta Perdana Menteri (Kanada dan Britain) Justin Trudeau dan Boris Johnson agar satu siasatan terbuka dan menyeluruh dilakukan berhubung nahas pesawat Ukraine yang terhempas,” menurut Michel pada Khamis di Twitter.

“Apabila keluarga kehilangan orang yang disayangi, mereka berhak tahu apa yang telah berlaku. Ingatan dan doa kami bersama keluarga dan rakan mangsa,” katanya.

Pesawat jenis Boeing 737-800 itu terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini di Tehran beberapa jam selepas Kor Pengawal Revolusi Islam Iran melancarkan lebih sedozen peluru berpandu balistik yang menyasarkan tentera Amerika Syarikat di Iraq sebagai tindakan balas terhadap pembunuhan Qassem Soleimani, komander tertinggi tentera elit Iran minggu lepas di luar Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad.

Sejumlah 176 orang terkorban dalam nahas itu termasuk rakyat Iran, Kanada, Ukraine, Sweden, Afghanistan, Jerman dan Britain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.