
Helikopter Mi-17 milik kerajaan wilayah itu sedang membawa bekalan bantuan ke kawasan terjejas akibat hujan lebat apabila ia terhempas “disebabkan cuaca buruk”, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik kenyataan Ketua Menteri wilayah, Ali Amin Gandapur.
Hujan dan banjir mengorbankan 227 orang, termasuk 206 di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, menurut stesen penyiar tempatan Geo.
Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA) berkata, ramai mangsa masih hilang.
Kematian turut dilaporkan di wilayah Gilgit-Baltistan dan Kashmir yang ditadbir Pakistan.
Jurucakap pasukan penyelamat wilayah, Bilal Ahmed Faizi, sebelum ini memberitahu AA melalui telefon, hujan lebat serta hujan badai menyebabkan banjir besar di Khyber Pakhtunkhwa.
Pasukan penyelamat memaklumkan hujan lebat dan hujan badai pada pagi Jumaat menyebabkan banjir besar di kawasan Salarzai, daerah Bajaur, yang mengakibatkan beberapa rumah dihanyutkan.
Gandapur berkata, helikopter terhempas itu sedang membawa bekalan ke kawasan Bajaur.
Pihak berkuasa tempatan memindahkan ramai penduduk ke kawasan lebih selamat susulan hujan dan tanah runtuh di Khyber Pakhtunkhwa serta Gilgit-Baltistan.
NDMA memberi amaran satu lagi fasa hujan monsun bermula Jumaat hingga 10 Sept ini.
Pihak berkuasa turut memberi amaran kenaikan suhu mempercepatkan pencairan salji dan glasier di tanah tinggi, sekali gus meningkatkan aliran air sungai.
Hujan monsun yang biasanya berlaku dari Jun hingga September sering menyebabkan kemusnahan di seluruh Asia Selatan, termasuk Pakistan, namun perubahan iklim menjadikan corak hujan semakin tidak menentu dan lebih ekstrem beberapa tahun ini.