
“Terdapat tujuh orang dalam pesawat itu, semuanya maut,” kata Syerif Daerah Iredell, Darren Campbell kepada AFP.
Peronda Lebuhraya North Carolina berkata, pesawat itu baru berlepas sebelum berpatah balik untuk mendarat, namun terhempas tidak lama kemudian.
Jet itu berlepas dari Lapangan Terbang Statesville, di utara bandar Charlotte.
Bekas pemandu Nascar, Greg Biffle antara yang maut.
“Keluarga Nascar berdukacita atas kehilangan Greg Biffle, antara 75 pemandu terhebat kami dan dikenali atas kerja kebajikan berterusan selepas bersara. Kami merakamkan ucapan takziah,” kata syarikat perlumbaan itu di X.
Turut terkorban isteri Biffle, Cristina Grossu Biffle dan dua anak mereka, menurut ahli Kongres Parti Republikan, Richard Hudson yang juga rakan keluarga mangsa.
“Saya amat sedih dengan kehilangan Greg, Cristina serta anak‑anak mereka, dan hati saya bersama semua yang menyayangi mereka. Mereka menjalani kehidupan dengan fokus membantu orang lain,” kata Hudson dalam catatan media sosial.
Cuaca mungkin faktor nahas itu, menurut media tempatan, yang melaporkan hujan renyai‑renyai dan awan rendah.
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan dalam kenyataan berkata, pasukan menyiasat nahas pesawat Cessna Citation C550 itu dijangka tiba di lokasi malam ini.