
BSKU yang menegaskan punca nahas hanya akan didedahkan dalam laporan akhir berkata, tindakan juruterbang dan jurutera yang tidak selamat menyebabkan potensi bahaya.
Ketika ‘hot refuelling’, tangki minyak pesawat diisi semasa enjin hidup.
“Helikopter itu berlegar dengan bilah kipas masih hidup, sambil bergerak menghampiri jurutera di darat, yang berada betul-betul di bawah bilah berkenaan.
“Ini satu pelanggaran langsung (prosedur kerja selamat) yang memandatkan kru supaya tunggu di jarak selamat dari tapak pendaratan,” menurut laporan diterbitkan di laman web BSKU.
Dalam kejadian itu, jurutera berusia 44 tahun disahkan maut di tempat kejadian, manakala juruterbang tidak cedera.
Menurut laporan itu juga, kru yang terlibat dengan pengisian minyak hanya patut menghampiri helikopter selepas mendapat arahan jelas (isyarat ‘thumbs up’) daripada juruterbang.
Bagaimanapun, menurut laporan itu, jurutera berkenaan sudah pun berada di bawah helikopter yang masih berlegar-legar dan bersedia untuk mendarat.
Helikopter kendalian firma Indonesia PT Zaveryna Utama itu terlibat dalam kerja projek pembinaan menara transmisi Tenaga Nasional Bhd.
Menurut laporan itu, pada hari kejadian, helikopter berkenaan kembali ke tapak pendaratan untuk mengisi minyak apabila hilang kawalan ketika masih berlegar di atas tanah.
Sebahagian skid pesawat itu bergesel dengan tanah, menyebabkannya terbalik dan terbakar manakala bilah kipas terkena jurutera berkenaan.
“Dalam kes ini, ketiadaan pegawai keselamatan dari pemajak (Malaysia Helicopter Services) di lokasi itu untuk memantau proses pengisian minyak turut menyumbang kepada sikap sambil lewa kru seterusnya meningkatkan lagi risiko pengoperasian,” menurut laporan itu.
Selain itu, laporan berkata apabila pemilik pesawat gagal mematuhi peraturan keselamatan, menjadi tanggungjawab pemajak untuk menyelia dan memantau operasi bagi memastikan pematuhan.
BSKU berkata, laporan itu mengandungi pernyataan fakta yang ditentukan setakat waktu ia dikeluarkan.
Menurutnya, ia mesti dianggap tidak muktamad dan tertakluk kepada perubahan atau pembetulan jika bukti tambahan diperoleh.