Imigresen tak beri kuasa ‘skuad sukarelawan’ buru pendatang asing tanpa izin

Imigresen tak beri kuasa ‘skuad sukarelawan’ buru pendatang asing tanpa izin

Imigresen berkata membanteras PATI adalah tugas pihak berkuasa dan JIM sentiasa menjalankan operasi penguatkuasaan.

KDN mengumumkan mahu memburu pelancong dari China dan India yang tinggal lebih masa di negara ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berkata tiada mana-mana pihak atau pertubuhan diberikan kuasa di bawah undang-undang untuk memburu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Ketua Pengarahnya, Khairul Dzaimee Daud berkata membanteras PATI adalah tugas pihak berkuasa dan JIM sentiasa menjalankan operasi penguatkuasaan.

“Bagi membanteras kehadiran PATI termasuk pelancong asing yang tinggal lebih masa di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada laporan media sosial dan kenyataan mengenai penubuhan sukarelawan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) bagi membantu memburu pelancong asing yang tinggal lebih masa.

Putra menawarkan 1,000 sukarelawan kepada JIM dan polis untuk membantu memburu pendatang asing tanpa izin.

Naib presidennya, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, skuad sukarelawan itu diwujudkan susulan kenyataan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 3 Dis lalu yang mahu memburu pelancong dari China dan India yang tinggal lebih masa di negara ini.

Dalam pada itu, Khairul berkata sejak 1 Januari hingga 24 Disember 2019, JIM melaksanakan 17,328 operasi penguatkuasaan dan hasilnya seramai 50,715 PATI serta 1,251 majikan ditahan.

Beliau berkata setiap PATI yang ditangkap akan melalui proses siasatan, dakwaan dan hukuman sebelum diusir ke negara asal.

“Orang ramai boleh membantu JIM dengan menyalurkan maklumat yang tepat tentang PATI supaya tindakan penguatkuasaan dapat diambil.

“Bagaimanapun orang ramai diingatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri. Berdasarkan Seksyen 51 Akta Imigresen 1959/1963 kuasa untuk menjalankan tangkapan adalah terhad kepada pegawai imigresen, polis dan kastam sahaja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.