Kartel ‘counter setting’ babit pegawai senior rekrut petugas baharu, kata KP imigresen

Kartel ‘counter setting’ babit pegawai senior rekrut petugas baharu, kata KP imigresen

Zakaria Shaaban berkata kegiatan counter setting sejak 2017 dan pegawai baharu yang enggan menurut arahan akan diboikot dan dipulaukan.

OPERASI KHAS IMIGRESEN
Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban berkata kakitangan terbabit rasuah menyembunyikan hasil kekayaan mereka termasuk membeli aset mewah didaftarkan atas nama individu lain bagi mengaburi pihak berkuasa.
PETALING JAYA:
Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban berkata rangkaian kartel ‘counter setting’ yang sedang disiasat pihak berkuasa membabitkan pegawai senior merekrut petugas baharu menyertai salah laku rasuah di pintu masuk negara bagi meraih habuan lumayan.

Beliau berkata, kegiatan itu dikesan dalam Jabatan Imigresen sejak 2017 dan pegawai baharu yang enggan menurut arahan kumpulan terbabit akan diboikot dan dipulaukan.

Katanya, pemantauan masih diteruskan ke atas pegawai imigresen terbabit kegiatan itu dan tangkapan dibuat susulan maklumat diberikan pihaknya.

Menurutnya, mereka bukan saja dikenakan tindakan tatatertib dalaman, tetapi akan didakwa di mahkamah dengan aset atau wang hasil salah laku itu boleh dirampas, sekali gus membanteras kegiatan berkenaan.

“Jika hanya imigresen ambil tindakan, kita akan tukar pegawai itu dan kes habis setakat itu saja, menyebabkan individu terbabit rasa selamat. Namun jika kes dikendalikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis, dengan bukti yang ada mereka akan ditangkap dan didakwa.

“Ramai lagi bakal kena tindakan selepas ini, saya tidak boleh bagi angka tepat, tapi mereka dalam pemantauan kita. Ada yang sudah lama terbabit salah laku ini, ada juga yang baru mula terjebak.

“Ini disebabkan budaya kartel tersusun dan berstruktur yang merekrut anggota baharu bagi meneruskan kegiatan menawarkan habuan lumayan itu, kita tahu siapa mereka,” katanya menurut Berita Harian.

Baru-baru ini, SPRM Selangor melalui Ops Rentas menyita pelbagai barangan mewah, termasuk kira-kira 3.2kg barang kemas bernilai RM1.6 juta dan 75 kepingan emas anggaran RM400,000 daripada enam individu termasuk lima pegawai Imigresen bertugas di pintu masuk negara.

Bahagian Perisikan SPRM dalam operasi sama turut mengesan ada pegawai imigresen menyimpan hasil rasuah lebih RM1 juta dalam akaun Tabung Haji dan lebih RM400,000 dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Sepasang suami isteri pegawai imigresen turut ditahan kerana mengumpul kekayaan dengan membeli barangan kemas sehingga mampu membuka sebuah kedai emas di Kuantan bermodalkan wang rasuah RM600,000 yang dikumpul sejak 2020.

Zakaria berkata, kakitangan terbabit rasuah menggunakan taktik licik untuk menyembunyikan hasil kekayaan mereka, termasuk membeli aset mewah yang didaftarkan atas nama individu lain bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Inilah cabaran terbesar kita dari segi tindakan tatatertib dalaman. Kalau harta itu bukan atas nama mereka, sukar untuk kita kaitkan kakitangan terbabit secara langsung.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.