La Catedral : Penjara 5 bintang untuk raja dadah dunia 1991

La Catedral : Penjara 5 bintang untuk raja dadah dunia 1991

Pablo Escobar merupakan raja dadah dunia yang diletakkan dalam penjara 5 bintang di mana di dalamnya terdapat segala kemudahan seperti jakuzi dan air terjun.

Bayangkan jika anda melakukan kesalahan sehingga dijatuhkan hukuman penjara, pasti anda merasakan dunia mulai menjadi gelap.

Ini kerana penjara adalah suatu tempat yang anda tidak akan nampak dunia luar, malah hubungan dengan keluarga turut terpisah sama ada beberapa tahun atau selama-lamanya bergantung kepada hukuman yang dijatuhkan pada kesalahan yang dilakukan.

Namun ia tidak berlaku kepada seorang penjenayah, Pablo Emilio Escobar Gaviria, raja dadah dunia yang umum mengetahui tentang kekebalannya daripada undang-undang kerajaan Colombia.

Tidak ada sesiapa pun yang berani mengambil tindakan terhadap Pablo Escobar yang juga pengasas kumpulan jenayah Medellin Cartel meskipun hukuman penjara telah dijatuhkan ke atas dirinya.

Namun dalam kejahatan yang dilakukan, terdapat banyak kebaikan yang diketahui masyarakat di situ dan dia sangat terkenal dengan sikap baik hati dan suka memberikan duit kepada orang-orang miskin di Colombia.

Bagaimanapun, akhirnya dia sendiri bersetuju untuk menjalani hukuman penjara di Colombia namun dengan satu syarat, iaitu ingin duduk di penjara yang dibina khas untuknya.

Penjara tersebut diberi nama La Catedral atau dikenali sebagai Hotel Escobar atau Club Medellin kerana keadaaan penjara ini lebih kepada rumah rehat untuk Pablo Escobar.

Ia dilengkapi dengan padang bola, jakuzi dan air terjun.

Dari segi luaran, La Catedral kelihatan seperti penjara biasa yang dikelilingi dengan pagar dawai dengan tembok yang tinggi. Namun semua itu dibina bagi menutup keadaan sebenar yang terdapat dalam La Catedral.

Semasa dipenjarakan, Pablo Escobar telah menerima lebih daripada 300 kunjungan termasuklah daripada beberapa orang penjenanyah terkenal!

Malah penjara mewah ini juga dikatakan mempunyai beberapa kawasan hiburan lain seperti ruang tamu yang televisyen yang besar, dapur memasak dengan tukang masak peribadi dan juga kelab malam yang mana tempat dia meluangkan masa dan juga menggunakan tempat ini untuk menjalankan majlis kahwin untuk rakannya.

Ia lebih dilihat yang Pablo Escobar sebenarnya dalam musim percutian daripada dipenjarakan.

Pada awalnya kerajaan Colombia hampir putus asa untuk menghukum Pablo Escobar kerana dirinya sangat terkenal dengan masyarakat setempat.

Namun beberapa orang ahli politik dan anggota polis tidak berasa gentar dengan pengaruh Pablo Escobar dan mereka tetap meneruskan usaha untuk memberkas Pablo Escobar, akhirnya kedua-dua pihak bersetuju untuk melakukan “negotiated surrender”.

Antara syarat yang diberikan kepada Pablo Escobar adalah dia dan kumpulannya akan menghentikan apa-apa jenayah dan menyerahkan diri mereka kepada pihak berkuasa, dan dalam masa yang sama pihak kerajaan Colombia tidak boleh menyerahkan Pablo Escobar kepada kerajaan Amerika Syarikat untuk dihukum.

Pablo Escobar turut menyatakan yang dia mahu hukuman penjaranya dikurangkan ke lima tahun sahaja dan dia akan dipenjarakan dalam penjara yang dibina sendiri. Penjara ini juga akan dipenuhi dengan pengawal lengkap bersenjata yang dia pilih sendiri bagi melindungi dirinya daripada diserang oleh musuh-musuhnya.

Pada 19 Jun 1991, Pablo Escobar telah diterbangkan ke La Catedral menggunakan helikopter yang terletak di atas gunung. Selepas dia mengucapkan selamat tinggal kepada keluarganya, dia terus dibawa masuk ke La Catedral bersama-sama dengan pengawal peribadinya.

Namun pada tahun 1992, pihak kerajaan Colombia memutuskan untuk tidak lagi mengikuti perjanjian mereka apabila Pablo Escobar telah meminta beberapa orang pengawal peribadinya untuk membunuh beberapa orang ketua kartel yang disyaki cuba menjatuhkan perniagaannya.

Askar-askar telah dikerahkan untuk mengeluarkan Pablo Escobar dari La Catedral dan membawanya ke penjara biasa.

Namun setibanya mereka di sana, Pablo Escobar telah berjaya melarikan diri selepas menjalani hukuman penjara 13 bulan daripada 5 tahun penjara yang dia dan kerajaan Colombia persetujui.

Pablo Escobar berjaya menyembunyikan diri selama setahun sebelum dia berjaya ditembak mati oleh pihak berkuasa Colombia pada 2 Disember 1993.

Selepas Pablo Escobar telah tiada, La Catedral ini hanya dibiarkan usang sebelum tahun 2007 apabila ia telah diserahkan kepada kumpulan sami “Benedictine” untuk dijadikan sebagai rumah ibadah mereka.

Sumber gambar : express.co, esquire.com, allthatinteresting.com

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.