Imran Khan, isteri dipenjara 17 tahun kes hadiah

Imran Khan, isteri dipenjara 17 tahun kes hadiah

Bekas perdana menteri Pakistan itu dan isteri, Bushra Bibi didakwa berkait kes Toshakhana-II.

Bekas perdana menteri Pakistan, Imran Khan dan isteri, Bushra Bibi di mahkamah di Lahore,  pada 17 Julai 2023. (Gambar EPA Images)
ISLAMABAD:
Bekas perdana menteri Pakistan, Imran Khan dan isteri, Bushra Bibi masing-masing dijatuhi hukuman penjara 17 tahun bagi kes hadiah negara, atau lebih dikenali sebagai kes Toshakhana-II, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Keputusan itu diumumkan dalam Penjara Adiala di bandar garison Rawalpindi, timur laut Pakistan, di mana Imran Khan dan Bushra Bibi sedang menjalani hukuman penjara.

Hakim Khas Pusat Shahrukh Arjumand menyampaikan keputusan itu bagi kes berkaitan penjualan dan pembelian hadiah asing secara haram pada harga yang terlalu rendah.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 17 tahun kepada Imran Khan dan Bushra Bibi selain mengenakan denda sebanyak 10 juta Rupee (kira-kira USD35,600) setiap seorang.

Imran dan Bushra didakwa atas kes itu tahun lalu, namun mereka menafikan tuduhan berkenaan dan menyifatkan kes itu sebagai rekaan serta bermotifkan politik.

Ini merupakan sabitan ketiga Imran dalam kes berkaitan Toshakhana. Pada Ogos 2023, sebuah mahkamah tempatan menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadapnya, manakala pada Januari 2024, kedua-dua mereka dijatuhi hukuman penjara 14 tahun bagi kes Toshakhana-I.

Sejak ditahan di penjara pada Ogos 2023, Imran berdepan puluhan kes merangkumi tuduhan rasuah sehingga keganasan, yang semuanya disifatkannya ‘palsu’.

Sejak itu, kerajaan telah memfailkan lebih 200 kes terhadap Imran, namun beliau berjaya memperoleh ikat jamin bagi kebanyakan kes terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.