Singapura kurang dua pertiga banduan dengan fokus pemulihan

Singapura kurang dua pertiga banduan dengan fokus pemulihan

Menteri Kanan Ehwal Dalam Negeri Faishal Ibrahim berkata penurunan itu hasil pendekatan 'pulih, bukan hukum' yang disokong kerjasama komuniti dan program lain.

changi prison
Pendekatan ‘throughcare’ Singapura membantu banduan kembali ke masyarakat, sekali gus mengurangkan dua pertiga tahanan, kata Menteri Kanan Ehwal Dalam Negeri Faishal Ibrahim. (Gambar EPA Images)
SINGAPURA:
Sedekad lalu, hampir 9,000 orang dipenjarakan di Singapura setiap tahun, tetapi jumlah itu kini berkurangan kepada sekitar 3,000 – perubahan yang menurut Menteri Kanan Ehwal Dalam Negeri, Faishal Ibrahim, hasil satu prinsip utama: penjara perlu memulihkan, bukan menghukum.

Beliau berkata, penjara di negara itu beralih daripada pemenjaraan tradisional kepada model “throughcare” yang menyokong banduan semasa dan selepas mereka dipenjarakan.

“Mungkin 10, 15 tahun lalu, kita mempunyai kira-kira 9,000 banduan setiap tahun, tetapi hari ini hanya 3,000 banduan.

“Dahulu, penjara lebih kepada ‘kunci pintu, buka pintu, kamu masuk’, tetapi hari ini program kami lebih kepada pendekatan pemulihan dan penyepaduan semula,” katanya pada sesi wawancara bersama wartawan Malaysia.

Faishal Ibrahim
Faishal Ibrahim.

Jumlah banduan di Singapura berkurangan daripada 9,242 pada 2020 kepada 7,660 pada 2022, tetapi meningkat sedikit kepada 8,336 orang tahun lalu, yang turut menyaksikan 2,498 pesalah menjalani pembetulan komuniti.

Faishal, yang juga pemangku menteri hal ehwal Islam, berkata masjid, kuil, gereja dan pelbagai kumpulan komuniti memainkan peranan penting dalam pemulihan banduan.

“Dalam penjara, kami ada rakan komuniti yang datang dan berinteraksi dengan banduan. Setiap kali mereka menyertai program, banduan berada di landasan untuk menjadi insan lebih baik ketika di dalam penjara.”

Beliau berkata, antara inisiatif utamanya ialah membentuk rangkaian pemulihan terdiri daripada organisasi keagamaan dan komuniti yang bekerjasama secara langsung dengan Kementerian Ehwal Dalam Negeri serta Perkhidmatan Penjara Singapura.

“Kami bukan saja bekerjasama dengan komuniti Muslim. Kami juga bekerjasama dengan gereja, kuil, kumpulan Buddha dan sebagainya.”

Pekerjaan untuk bekas banduan

Faishal berkata, syarikat yang mengupah bekas banduan akan mendapat geran kerajaan, dengan ribuan syarikat mengambil bahagian bagi menyokong pemulihan mereka.

Menurutnya, banduan turut didaftarkan dalam Projek Yellow Ribbon, di mana jurulatih kerjaya akan menghubungkan mereka dengan majikan.

“Ia menunjukkan kemajuan baik, tetapi kami mahu melakukan lebih banyak lagi, khasnya untuk mencegah kesalahan berulang,” katanya sambil menambah kerajaan mahu memastikan mereka bekerja lebih lama atau mencari peluang untuk memajukan kerjaya mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.