
Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar memerintahkan Mohammad Arif Selamat, 33, menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 13 Nov selain 12 bulan penjara, jika gagal membayar denda.
Tertuduh didakwa memandu kereta sehingga menyebabkan anggota polis lelaki terbabit terheret dengan mengetahui perbuatan itu boleh menyebabkan kematian, di sebuah stesen minyak di Klang, kira-kira 3 petang pada 12 Nov.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Arif yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana perlu menjaga ibu dan bapanya berusia 61 tahun yang mempunyai masalah sakit jantung.
Timbalan Pendakwa Raya, Peh Fong Xi, memohon hukuman berat bagi mengambil kira keseriusan kes itu yang tular melalui media sosial, selain menjadi pengajaran kepada masyarakat.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis yang membuat rondaan cegah jenayah di Taman Sri Andalas terserempak dengan sebuah kereta disyaki terlibat kes samun sebelum mengekori kenderaan itu ke sebuah stesen minyak.
Mangsa kemudian cuba menahan pemandu kereta terbabit, namun semasa proses tangkapan, Arif bertindak agresif dengan menolak anggota polis berkenaan.
Lelaki terbabit kemudian melarikan diri dengan memecut kereta sehingga mengheret mangsa dan hampir menggilis kakinya.