
Beliau berkata, 40% pemilik tanah di Kampung Baru sudah memberi maklum balas kepada kerajaan sehingga kini dan kementeriannya akan meneliti semua butiran dan data diterima sehingga hujung bulan ini.
Katanya, jika semua pemilik tanah memberi maklum balas positif, perjanjian jual beli mungkin boleh ditandatangani seawal Jun tahun depan, tetapi jika sebaliknya, mereka akan beralih kepada pendekatan lain untuk mendapatkan persetujuan bagi pembangunan semula Kampung Baru.
“Mana yang setuju, tidak setuju, kita akan teliti butirannya.
“Walaupun sudah capai jumlah 40%, tapi tak semestinya besar tanah itu 40%,” katanya dalam sidang media di Kompleks Perbadanan Putrajaya hari ini.
Ini kerana, katanya, setiap lot tanah di Kambung Baru mempunyai bilangan penama berbeza.
“Ada satu lot tanah satu nama. Ada satu lot tanah lain 10 nama, tapi (ia dikira) satu lot juga,” katanya.
Pada 21 Sept lalu, kerajaan menawarkan RM850 sekaki persegi bagi pengambilan tanah di Kampung Baru, tetapi sebahagian besar penduduk berpendapat tawaran itu tidak setimpal lokasi strategik penempatan itu dan meminta kerajaan mengkajinya semula.
Susulan itu, kerajaan pada 24 Okt lalu menaikkan tawaran itu kepada RM1,000 sekaki persegi, dengan RM850 dibayar dalam bentuk pulangan pilihan pemilik, manakala baki RM150 dalam bentuk pegangan saham syarikat tujuan khas (SPV).
Sebelum ini, seramai 1,882 atau 35.12% daripada 5,359 pemilik tanah berdaftar di Kampung Baru sudah mengisi dan menghantar borang maklum balas pelan pembangunan sejak tawaran rasmi dibuka pada 21 Sept hingga 25 Nov lalu.
Daripada jumlah itu, seramai 1,773 pemilik bersetuju tanah mereka dibangunkan semula kerajaan, manakala 106 lagi tidak bersetuju.