Kenapa pilih gabungan ‘longgar’ jika ada yang kuat, kata Mujahid

Kenapa pilih gabungan ‘longgar’ jika ada yang kuat, kata Mujahid

Timbalan Presiden Amanah berkata, PN berhak yakin boleh menang lebih banyak kerusi pada PRU16 hasil 'gabungan longgar' dengan parti pembangkang lain.

Timbalan Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa berkata, PN berhak zahir keyakinan untuk menang lebih banyak kerusi Parlimen pada PRU16.
KUALA LUMPUR:
Timbalan Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa berpendapat Perikatan Nasional (PN) berhak ‘mengisytiharkan’ keyakinan mampu menang lebih banyak kerusi Parlimen pada PRU akan datang, hasil gabungan ‘longgar’ bersama parti pembangkang lain.

Bagaimanapun, katanya, Amanah sendiri berada dalam ‘gabungan kuat’ bersama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“(Pengerusi PN Muhyiddin Yassin) kata sendiri itu gabungan ‘longgar’, tetapi kami (Amanah) daripada PH-BN, gabungan kuat. Kenapa (pengundi) nak pilih gabungan lemah sedangkan sudah ada yang kuat?

“Bagaimanapun itu hak mereka masing-masing untuk isytiharkan apa pun,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Muhyiddin semalam bahawa jalinan kerjasama dengan lebih banyak parti bukan Melayu boleh menyumbang kepada PN memenangi 15 hingga 22 kerusi tambahan di Parlimen pada PRU16.

Sinar Harian melaporkan beliau berkata, unjuran menunjukkan PN boleh menambah sokongan sebanyak 2% hingga 5% jika ia mengelak pertandingan pelbagai penjuru, dan meluaskan daya tarikan kepada lebih banyak komuniti.

Pada 18 Ogos lepas diumumkan bahawa 11 parti pembangkang membentuk gabungan untuk mempertanggungjawabkan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta memperjuangkan isu rakyat termasuk janji reformasi yang belum tertunai.

Gabungan itu dianggotai Bersatu; PAS; Gerakan; Pejuang; Muda; Putra; Parti Rakyat India Malaysia (MIPP); Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa); Parti Sosialis Malaysia (PSM); Parti Kemajuan Malaysia (MAP); dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

Muhyiddin ketika itu berkata, gabungan itu bersifat ‘longgar’ memandangkan ia tidak berdaftar secara rasmi.

Sementara itu, Khalid berkata, penubuhan gabungan ‘longgar’ itu umpama pengakuan bahawa PN tidak cukup sokongan sesama partinya sendiri.

“Ia juga pengakuan mereka perlu membentuk satu lagi gabungan untuk meningkatkan peluang menang dalam PRU akan datang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.