Lebih 200 himpun depan kedutaan AS, solidariti bersama Iran, Palestin

Lebih 200 himpun depan kedutaan AS, solidariti bersama Iran, Palestin

Peserta Himpunan Tolak Perang berarak dari Masjid Tabung Haji ke kedutaan AS bawa bendera dan plakad, mahu serah memorandum.

Himpunan Tolak Perang
Peserta Himpunan Tolak Perang di Kuala Lumpur hari ini membawa bendera dan plakad berarak ke Kedutaan AS di Jalan Tun Razak.
KUALA LUMPUR:
Lebih 200 orang menyertai perhimpunan aman di depan Kedutaan Amerika Syarikat hari ini sebagai tanda solidariti bersama rakyat Palestin dan Iran susulan serangan Israel.

Menyahut seruan penganjur Himpunan Tolak Perang, Koalisi Nasional dan Global Solidariti Palestin-Iran, peserta pelbagai kaum berkumpul di depan Masjid Tabung Haji selepas solat Jumaat untuk berarak ke bangunan kedutaan yang terletak di Jalan Tun Razak, membawa bendera serta plakad.

Antara pemimpin politik yang dilihat hadir termasuk Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad dan Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kayat.

Selain itu, aktivis Tian Chua, penyelaras NGO Mandiri Wong KuKui dan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid turut menyertai himpunan itu.

Menurut laporan media Iran, serangan Israel menyasarkan lokasi ketenteraan, nuklear dan kawasan kediaman.

Gambar disiarkan menunjukkan kediaman yang musnah di beberapa kawasan ibu negara Iran, manakala saksi dan televisyen negara melaporkan kematian orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak.

Dilaporkan serangan itu meragut sekurang-kurangnya 639 nyawa, termasuk 263 orang awam dan 154 anggota pasukan keselamatan Iran, selain lebih 1,320 yang lain cedera.

Peserta Himpunan Tolak Perang di Kuala Lumpur hari ini turut membawa memorandum untuk diserahkan kepada Kedutaan AS, antaranya menuntut pengesahan langsung jenayah perang dan pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan oleh Israel.

Bagaimanapun, menurut Khalid, tiada wakil kedutaan keluar menerima memorandum tersebut.

“Kami terpaksa masukkan (memorandum) dalam peti surat (kedutaan),” kata Khalid, meluahkan kekecewaannya.

Dalam pada itu, Tian Chua menyelar ‘keangkuhan’ kedutaan AS, yang menurutnya tidak mengambil peduli ‘suara rakyat’.

“Terus abai kita. Kita akan terus berhimpun selagi risiko perang ini merebak.

“(Kita) akan terus kekal tunjuk pendirian tegas kita tolak peperangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.