
Pengarah Komunikasi, Khalid Samad, berkata setakat ini rundingan mengenai pembahagian kerusi masih berjalan antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Katanya, proses itu perlu dimuktamadkan sebelum hujung bulan ini kerana kemungkinan besar DUN Sabah dibubarkan bulan depan.
“Sekarang, ia masih dalam tempoh rundingan yang membabitkan banyak peringkat termasuk PH dengan BN, PH dengan GRS serta rundingan PH sesama PH.
“Kita berharap Amanah mendapat dua atau tiga kerusi daripada 73 kerusi keseluruhannya,” katanya di Kota Bharu, menurut Utusan Malaysia.
Khalid berkata, walaupun Amanah masih di peringkat awal bertapak di Sabah, parti itu optimis mampu memenangi kerusi ditandingi pada PRN nanti.
Jun lalu, pemimpin GRS Masiung Banah berkata gabungan pemerintah itu dijangka bertanding sekurang-kurangnya 53 kerusi pada PRN, manakala PH akan merebut 20 kerusi bawah pakatan pilihan raya mereka.
GRS bekerjasama dengan PH tetapi dijangka bertembung sekutu mereka di persekutuan iaitu BN dalam pilihan raya itu.