2 militan maut selepas 3 jam berbalas tembakan di selatan Thai

2 militan maut selepas 3 jam berbalas tembakan di selatan Thai

Tentera Thailand berkata, imam kampung gagal menasihatkan 2 lelaki yang dipercayai anggota Barisan Revolusi Nasional itu menyerah diri.

Berdasarkan maklumat perisikan, pihak berkuasa mengepung sebuah rumah di Kampung Kuala Pinae di daerah Nong Chik, yang dipercayai menjadi tempat persembunyian anggota Barisan Revolusi Nasional. (Gambar AFP)
PATTANI:
Dua militan dipercayai anggota Barisan Revolusi Nasional (BRN) maut dalam kejadian berbalas tembakan hampir 3 jam dengan pasukan keselamatan di Pattani, selatan Thailand.

Jurucakap Tentera Divisyen ke-4, Pramote Prom-in berkata, dalam kejadian kira-kira 7.30 malam Khamis (8.30 malam tadi waktu Malaysia), dua lelaki berusia 28 dan 40 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Berdasarkan maklumat perisikan, pihak berkuasa mengepung sebuah rumah di Kampung Kuala Pinae di daerah Nong Chik, yang dipercayai menjadi tempat persembunyian anggota bersenjata.

“Pasukan keselamatan yang tiba di rumah itu meminta mereka yang berada dalam rumah menyerah diri, tetapi mereka enggan.

“Mereka mula melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan dan menyebabkan berlakunya insiden berbalas tembakan hampir 3 jam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pramote berkata, pasukan keselamatan turut meminta bantuan imam di kampung itu menasihatkan 2 lelaki terbabit menyerah diri, tetapi gagal.

“Selepas insiden berbalas tembak itu tamat, pasukan keselamatan menemui 2 mayat dan senjata api dalam rumah berkenaan.”

Difahamkan, suspek berusia 40 tahun itu dipercayai terlibat dalam serangan di pos kawalan keselamatan di Yala yang menyebabkan 15 maut pada 5 Nov lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.