
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M Kumar, berkata sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Jenayah Berat (D9) JSJ Bukit Aman sedang menjalankan operasi mengesan dan mencegah jenayah samun di sekitar Banting, Dengkil dan Sepang kira-kira 8.10 malam.
Menurutnya, pasukan itu terserempak Perodua Myvi dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, ketika pasukan itu cuba menahan kereta terbabit, suspek tiba-tiba melepaskan tembakan dari dalam kereta ke arah anggota polis.
“Pasukan polis membalas tembakan sehingga tiada ancaman keselamatan.
“Suspek disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan. Hasil siasatan awal mendapati suspek disyaki warga tempatan, namun tiada sebarang pengenalan diri dijumpai,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sepucuk pistol colt 45, tujuh paket lut sinar mengandungi serbuk kristal disyaki dadah dan tiga butir peluru kynoch kaliber.45 ditemui dalam kereta suspek.
Jelasnya, polis sedang menjalankan siasatan lanjut.