Tak sampai 500 rakyat Malaysia masih terkandas di Hatyai, kata menteri

Tak sampai 500 rakyat Malaysia masih terkandas di Hatyai, kata menteri

Menteri Luar, Mohamad Hasan berkata hari ini sahaja seramai 177 rakyat Malaysia yang terkandas berjaya diselamatkan.

Menteri Luar Mohamad Hasan berkata operasi membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Hatyai akibat banjir besar yang melanda wilayah selatan Thailand itu masih diteruskan. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Menteri Luar, Mohamad Hasan berkata tidak sampai 500 rakyat Malaysia masih terkandas di Hatyai, Thailand sehingga pagi ini susulan banjir teruk yang melanda di wilayah tersebut.

Beliau berkata hari ini sahaja seramai 177 lagi rakyat Malaysia berjaya diselamatkan dan operasi menyelamat akan diteruskan.

Katanya, lebih 700 orang berjaya dipindahkan dari Hatyai ke Bukit Kayu Hitam, termasuk mereka yang sudah berada di pusat pemindahan banjir sementara.

“Sehingga semalam, Jabatan Imigresen merekodkan 2,204 rakyat Malaysia yang menyeberangi sempadan di Bukit Kayu Hitam, Durian Burung dan Wang Kelian,” katanya pada sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Mohamad berkata usaha menyelamatkan rakyat Malaysia memang sentiasa dilakukan dan termasuk menghantar pasukan sukarelawan jika diperlukan.

“Saya telefon rakan sejawat saya bertanya sama ada perlu pasukan penyelamat daripada Malaysia tetapi beliau menyatakan bahawa keadaan dapat diurus mereka sendiri.

“Tetapi, sukarelawan banyak pergi ke sana seperti persatuan bulan sabit merah dari Perlis, Kedah dan Perak serta NGO lain,” katanya.

Mohamad meminta maaf jika terdapat pihak yang merungut kerana menggunakan kontena dalam operasi menyelamat rakyat Malaysia terkandas di Hatyai.

“Kita gunakan kontena dan duduk ramai-ramai macam pemerdagangan manusia. Duduk dalam kontena dan kita bawak lalu sampai ke Bukit Kayu Hitam. Guna kontena sebab lori kecil tak boleh lalu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.