
Beliau berkata, cubaan serangan itu, melibatkan ancaman secara berkumpulan dan individu, manakala dua serangan dilancarkan, iaitu serangan bom ke atas sebuah pub di Puchong pada 28 Jun 2016 dan terhadap Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada 17 Mei 2024, yang mengorbankan dua polis.
“Dalam tempoh terbabit, Bahagian E8 turut berjaya menahan 75 anggota kumpulan militan dan pengganas yang merancang untuk melancarkan serangan di Malaysia. Mereka yang ditahan ini berpegang kepada ideologi Salafi Jihadi yang diperjuangkan oleh kumpulan itu,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Ayob Khan berkata, semua suspek ditangkap di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), kemudian sama ada dituduh di bawah Kanun Keseksaan atau dikenakan Perintah Tahanan atau Perintah Sekatan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca) atau Akta Pencegahan Keganasan (Pota).
Beliau berkata, suspek yang didakwa di bawah Kanun Keseksaan kesemuanya disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara antara satu hingga 25 tahun.
Ayob Khan berkata, antara rancangan serangan ganas yang berjaya dipatahkan oleh Bahagian E8 Cawangan Khas, termasuk cubaan melancarkan serangan menggunakan bahan letupan buatan sendiri (IED) terhadap kedutaan asing di Kuala Lumpur pada 2012, serta pusat hiburan di Kuala Lumpur dan Selangor pada 2013.
Beliau berkata, pasukan keselamatan turut menggagalkan beberapa rancangan serangan yang menyasarkan rumah ibadat, premis awam, dan lokasi tumpuan, termasuk rancangan berskala besar melibatkan sasaran individu berprofil tinggi dan kemudahan strategik, selain cubaan serangan bom di Putrajaya.
Mengulas mengenai keraguan sesetengah pihak terhadap keupayaan suspek untuk melaksanakan serangan berskala besar, Ayob Khan berkata siasatan mendapati beberapa suspek telah menghasilkan IED, ‘Vehicle-Borne IED’ (VBIED), senjata api dan bom tangan, selain menjalankan ujian letupan yang berjaya.
Beliau berkata, keberkesanan undang-undang pencegahan seperti Sosma, Pota, dan Poca adalah penting bagi membolehkan tindakan awal diambil untuk menggagalkan rancangan serangan ganas sebelum berlaku kehilangan nyawa.