
Daripada 562 permit yang diluluskan, Barisan Nasional mengadakan 304 acara berpermit berbanding pesaing terdekat, Pakatan Harapan yang mengadakan 124 acara berpermit.
Menurut Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya, acara yang memerlukan permit adalah perjumpaan awam terbuka, perhimpunan awam terbuka, pertunjukan awam terbuka atau hiburan awam terbuka di mana ucapan atau syarahan hendak diberikan.
“Ikut pecahan, untuk Pakatan Harapan 124, Barisan Nasional 304, Gerakan 115, Bebas 11 dan Berjasa 8,” kata Ketua Polis Johor, Mohd Kamarudin Md Din pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Pontian hari ini.
Turut hadir Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Johor, Shafie Taib; Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Johor, Md Yusof Ahmad; dan Ketua Polis Pontian, Mustafa Bakri Salleh. PRK Tanjung Piai kini memasuki hari ke-12 tempoh berkempen.
Sementara itu, Kamarudin memaklumkan sebanyak 34 laporan polis diterima dan sebanyak 4 siasatan dijalankan.
Beliau berpuas hati dengan perjalanan kempen kerana tiada sebarang pergaduhan setakat ini, hanya kes-kes kecil seperti bendera tercabut atau papan iklan terjatuh.
“Saya ucap terima kasih kepada parti-parti bertanding jalankan kempen dengan baik dan teratur,” katanya.
Sementara itu, Kamarudin berkata seramai 100 anggota dikerahkan untuk ceramah Pakatan Harapan malam ini, yang akan menampilkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.