Ratu cantik Iran diberi suaka di Filipina

Ratu cantik Iran diberi suaka di Filipina

Bahareh Zare Bahari yang berpangkalan di Filipina sejak 2014 tidak dibenarkan masuk ke negara itu pada 17 Okt selepas kembali dari Dubai.

Bahareh Zare Bahari memohon status pelarian selepas tidak dibenarkan masuk ke Filipina. (Gambar AFP)
MANILA:
Seorang ratu cantik Iran yang dikehendaki di Teheran kerana tuduhan jenayah diberikan suaka politik di Filipina, kata pegawai Jumaat, sekali gus menamatkan kebuntuan selama tiga minggu di lapangan terbang Manila.

Bahareh Zare Bahari yang berpangkalan di Filipina sejak 2014 tidak dibenarkan masuk ke negara itu pada 17 Okt selepas kembali dari Dubai.

Pihak berkuasa Filipina merujuk kepada satu waran tangkap yang dikeluarkan oleh Iran ke atas Bahareh.

Dengan mendakwa Tehran mahu menghukumnya kerana menentang rejim teokrasi di negara itu, Bahareh kemundiannya memohon status pelarian dengan “berkampung” di dalam sebuah bilik di lapangan terbang antarabangsa Manila dan menggunakan media sosial bagi meraih sokongan antarabangsa, termasuk mengemukakan rayuan kepada Presiden Filipina Rodrigo Duterte.

“Mereka akan bunuh saya,” Bahareh memberitahu akhbar Telegraph bulan lepas, merujuk kepada pihak berkuasa Iran.

Penolong setiausaha kehakiman Filipina Mark Pereta memberitahu AFP bahawa beliau diberikan suaka politik, selain berkata Bahareh ditahan kerana Iran meminta bantuan Interpol menahan dan menghantarnya pulang atas tuduhan menyerang dan menyerang sentuh.

“Beliau akan keluar dari lapangan terbang dan masuk ke wilayah Filipina,” kata Perete, tetapi enggan memaklumkan alasan Bahareh diberikan suaka dengan menyebut peraturan kerahsiaan konvensyen pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Ketika diminta memberi komen, seorang pegawai di kedutaan Iran di Manila memberitahu AFP supaya menghubungi kedutaan itu pada Isnin.

Terdahulu sebelum keputusan pemberian suaka dibuat, kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International menggesa pihak berkuasa Filipina supaya tidak menghantar pulang Bahareh dengan berkata, “beliau merupakan pengkritik lantang pihak berkuasa Iran dan penentang pemaksaan purdah”.

“Jika pihak berkuasa Filipina menghantarnya pulang ke Iran, beliau mungkin ditangkap, disiksa dan dikenakan layanan buruk lain, serta perbicaraan tidak adil dan dipenjarakan,” kata pengarah Amnesty wilayah Timur dan Asia Tenggara Nicholas Bequelin dalam satu kenyataan Khamis.

Dalam satu klip video di laman Facebooknya dua minggu lepas, Bahareh berkata, beliau tinggal di Filipina sejak 2914 kerana belajar jurusan pergigian selain memulakan kerjaya dalam bidang lakonan dan model.

Bahareh yang mewakili Iran dalam pertandingan ratu cantik Miss Intercontinental di Manila tahun lepas berkata, beliau dikehendaki di Iran kerana “aktiviti politiknya”.

Beliau berkata, pihak berkuasa Iran mengemukakan “laporan palsu” tentang dirinya kepada Filipina dan berkata, beliau bersuara di media sosial untuk menunjukkan kepada rakyat Iran tentang “kehidupan tanpa perang, dan dengan kebebasan, keamanan dan kasih sayang”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.