
“History doesn’t repeat itself, but it often rhymes,” Mark Twain.
Acap kali kita mendengar komentar daripada sejarawan mahupun tokoh akademik yang sering mengaitkan peristiwa besar mahupun insiden yang merubah aturan dunia dengan kitaran atau pola perubahan hidup masyarakat dunia.
Berdasarkan rekod bertulis dan catatan sejarah, pola penting yang dikaitkan dengan perubahan order dunia dilihat dan dikaji dalam setiap 100 tahun, merangkumi aspek ekonomi, politik dan teknologi.
Perubahan dunia masa kini yang lebih pantas dan agresif berbanding masa diambil dari revolusi perindustrian yang pertama hingga pasca Perang Dunia II amat menggerunkan, kiranya kita cuba membayangkan tidak perlu sampai 10 tahun, cukup hanya lima tahun akan datang, bagaimanakah rupa dunia yang kita biasa kenali.
Heni Ozi Cukier, atau lebih dikenali dengan nama pena Profesor HOC pernah mengupas mengenai bagaimana pola sejarah membentuk asumsi atau ramalan ahli akademik dan teori konspirasi dalam mengandaikan bentuk masa depan dunia. Kupasan beliau menarik minat penulis untuk menyemak semula dan melakukan analisis ringkas mengenai pandangan dan pendekatan beliau dalam mempengaruhi pemikir geopolitik antarabangsa khususnya.
HOC menggunakan empat dimensi utama dalam melihat sejarah dan masa depan iaitu ekonomi, sosial, politik dan ketenteraan. Objektif utama mengapa beliau memilih empat dimensi ini adalah fokus kepada keruntuhan mega tamadun manusia yakni melalui perang, dan dalam konteks perbincangan ini, Perang Dunia III.
Revolusi sosial
Kemajuan dan revolusi teknologi sememangnya membawa dua kesan utama kepada umat manusia; kemudahan dan ketidaktentuan. Pra Perang Dunia I, dunia merayakan revolusi industri kedua dengan penciptaan mesin, kereta, elektrik dan pengeluaran secara besar-besaran (mass production). Di sebalik keriuhan perayaan ini, timbul satu keresahan di setiap lapisan masyarakat pada masa itu, kebarangkalian untuk mereka hilang pekerjaan (digantikan dengan mesin). Ketidaktentuan ini meresahkan mereka yang terbiasa dengan nilai pekerjaan tradisional.
Hari ini, kita berada dalam dilema yang hampir sama. Meskipun pihak kerajaan menjanjikan integrasi AI dan tenaga kerja manusia akan memberi manfaat yang lebih kepada pertumbuhan ekonomi negara, realitinya kegelisahan itu tetap ada. Revolusi dunia digital hari ini adalah cerminan kepada revolusi industri kedua dahulu; bezanya evolusi dan adaptasi manusia terhadap kecanggihan teknologi kecerdasan buatan ini lebih pantas dan merangkul setiap segmen dalam masyarakat.
Ekonomi
Hujah klasik yang sering didendangkan dalam ruang lingkup fundamental ekonomi menyebut keamanan dan kemakmuran adalah benteng utama dalam menghalang peperangan daripada berlaku. Justifikasi logiknya adalah mustahil untuk sesebuah negara yang telah mencapai keamanan dan kemakmuran dengan sengaja memilih jalan perang yang akan merosakkan negaranya sendiri. Namun, sejarah dunia yang tercatat membuktikan sebaliknya.
Sebelum Perang Dunia II, Jerman dan Jepun cuba meletakkan dirinya sebaris bersama negara kuasa besar yang lain dari segi persaingan ekonomi dan inovasi teknologi. Namun, negara ini sering dipinggir dan tidak terlihat bersama dalam kerancakan ‘negara kelas pertama’ menggauli evolusi teknologi yang semakin laju. Didukung bersama ideologi dan semangat nasionalisme, dua negara ini memilih jalan penaklukan (perang) sebagai ‘pembalasan dendam’ atas keterasingan yang dirasai sebelum ini selain simbol kekuasaan.
Hari ini, perang Rusia-Ukraine membuktikan kebergantungan terhadap kemakmuran serantau dan global bukanlah jaminan mutlak. Masyarakat dunia kembali melihat kepada ekonomi berasaskan nasionalisme (perdagangan domestik, ekonomi tempatan). Nilai dagangan antarabangsa yang diterjemahkan melalui pengaruh angka-angka KDNK tidak lagi dilihat sebagai kebergantungan masyarakat kebanyakan, kecuali kepada kumpulan borjuis.
Politik
Sebelum dua siri peperangan dunia berlaku, wilayah yang berdaulat serata benua terbahagi dan disempadankan atas dasar politik yang ekstrem (ideologi). Cukier mengambil Balkan sebagai contoh, di mana rantau itu menjadi titik panas utama yang tercetus disebabkan polarisasi politik dan semangat nasionalisme; seterusnya membawa kepada pembunuhan Archduke Franz Ferdinand (sehingga tercetus Perang Dunia I) dan bagaimana Republik Weimar di Jerman hilang pengaruh dan kekuatan politiknya, apabila defisit kepercayaan terhadap autoriti mulai mendominasi pemikiran rakyat.
Fenomena ini boleh dilihat dalam suasana dunia masa kini, di mana pelabelan sistem demokrasi itu menjadi bahan sindiran dan dilihat sebagai sistem yang kontra dengan asasnya sendiri.
Ketenteraan
Dalam sejarah, dua perang dunia tidak bermula secara terus di peringkat global. Segalanya bermula di peringkat kecil, dan yang bertanggungjawab membesarkannya sehingga merebak ke seluruh dunia adalah blok pakatan/proksi. Perang Dunia I tercetus kerana konflik Austria-Serbia, namun nama dua negara ini hanya tercatat pada peringkat awal perang, kemuncak konflik didominasi oleh negara kuasa besar lain.
Hari ini, beberapa titik panas sedang menyala dan makin membara; Rusia-Ukraine di Eropah, ketegangan di Selat Taiwan dan kemelut Timur Tengah. Lebih menarik, kuasa besar yang sering ‘disisihkan’ kerana ideologi politik seperti Rusia, China, Iran dan Korea Utara semakin utuh bersama sedang negara maju yang mendukung semangat demokrasi kian berpecah dan gagal membawa semangat kebersamaan ke arah yang strategik.
HOC menyimpulkan syarahan ini dengan satu peringatan penting:
“Kita tidak ditakdirkan untuk berperang, tetapi kita sedang mencipta syarat yang memungkinkan perang.”
Pendekatan HOC dalam melihat sejarah dan landskap sosiopolitik hari ini mungkin agak simplistik dan tidak bersandarkan ‘realpolitic’, tetapi harus kita ingat terutama generasi muda hari ini, revolusi dunia berlaku hasil dorongan kumpulan ‘idealist’ yang enggan menerima percaturan ‘realpolitic’ ini. Apabila gerakan kecil ini digabungkan, ia akan menjadi pakatan yang strategik.
Sejarah tidak perlu berulang untuk memberi pengajaran, ia hanya perlu ‘berima’.
Adam Mukhriz Yusof ialah penulis bebas.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.