Pemuda Umno bidas ucapan menteri ‘rasis, cauvinis’

Pemuda Umno bidas ucapan menteri ‘rasis, cauvinis’

Satu klip video tersebar menunjukkan Salahuddin Ayub berkata, Malaysia akan menjadi huru-hara jika BN kembali berkuasa, dengan tembakan dan kebakaran berlaku di merata tempat.

Asyraf Wajdi Dusuki menggesa SPR mengambil tindakan terhadap Salahuddin Ayub atas ucapannya yang didakwa melanggar Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
PETALING JAYA:
Pemuda Umno hari ini mengkritik seorang menteri persekutuan ketika berkempen di Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai dengan menyifatkan kenyataannya rasis dan cauvinis.

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub membuat kenyataan itu pada satu perjumpaan tertutup dengan pengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pei Chio di Kukup Laut.

Katanya, satu klip video tersebar yang didakwa ucapan itu menunjukkan Salahuddin berkata, Malaysia akan menjadi huru-hara jika Barisan Nasional kembali berkuasa, dengan tembakan dan kebakaran berlaku di merata tempat.

Asyraf yang merupakan bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, kenyataan itu melanggar Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana cuba mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan.

“Kempen PRK Tanjung Piai tidak seharusnya dijadikan medan menyemarakkan api perkauman sebagaimana yang sering dilakukan Pakatan Harapan (PH) dalam siri-siri kempen PRK terdahulu,” katanya dalam kenyataan hari ini merujuk Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran.

Kula ketika berkempen untuk calon PH di Rantau pada April lalu berkata, beliau malu jika pengundi India tidak menyokong Dr Streram Sinnasamy.

Naib pengerusi DAP itu kemudiannya berkata, ucapannya dipetik di luar konteks.

Asyraf menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya mengambil tindakan terhadap Salahuddin, “walaupun kesalahan itu dilakukan seorang menteri”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.