
Sebenarnya saya habis idea, bagaimana mahu memahamkan orang, baik yang tua atau yang muda; bahawa jenayah tidak ada kena-mengena langsung dengan kaum.
Sekiranya kita menuliskan begini di media sosial; 1) penyamun berbangsa Melayu membawa lari barang kemas di Kajang; atau 2) pelancong Denmark cedera dalam satu insiden copet oleh seorang berbangsa Orang Asli; atau 3) penyerang perempuan berbangsa Cina cuba memeluk seorang bangsawan; atau 4) mereka berbangsa Cina lebih ramai memberi rasuah berbanding Melayu; 5) atau samseng India bikin kacau di Klang, 6) Rohingya ditahan liwat kanak-kanak; atau akhirnya kenyataan seperti lelaki Kelantan didapati melanggan dan memukul pondan di kawasan merah Alor Setar.
Semua contoh ini, saya ingin ingatkan sekali lagi – semua ini, adalah contoh kenyataan rasis – ia adalah satu tanda kepada perangai buruk perkauman. Ia mesti dihentikan. Tambahan pula kalau ia dilakukan oleh seorang ustaz, dan pemimpin masyarakat.
Ini adalah jelas merupakan contoh dan misalan kecenderungan perkauman yang hodoh, dan ia sangat berbahaya untuk masyarakat kita yang berbilang kaum dan kepercayaan.
Perihal rasisme begini kita namakan ia bias. Apakah itu bias? Bias adalah sejenis kecenderungan, kecondongan atau prasangka dalam memihak atau menentang sesuatu. Bias juga merujuk kepada layanan yang tidak adil dan berlainan terhadap ahli kumpulan berdasar faktor jantina, generasi, kaum atau etnik tentunya, kepercayaan dan faham agama, kebangsaan, orientasi seksual, keupayaan, status sosioekonomi, dan bermacam lagi ‘kumpulan’ lain baik ia di peringkat individu atau institusi.
Layanan yang berat sebelah ini akan memberi kelebihan kepada kumpulan tertentu berbanding kumpulan lain serta menyekat pula peluang kumpulan yang tidak diutamakan. Contohnya jika kita menjadikan alasan agar ada bangsa tertentu tidak diberikan jawatan, kerana contoh – polis berbangsa India tentulah akan beri muka kepada penjenayah berbangsa India. Ini teramat rasis.
Tetapi ini berlaku di negara kita. Dan nampak makin menjadi-jadi. Ini bias. Bias ini berhubung rapat dengan diskriminasi yang seringnya merupakan manifestasi tingkah laku dari prejudis kita sendiri dan oleh itu ia mencetus dan mendorong terjadinya layanan negatif, pemomokan, dan memudaratkan ahli kumpulan yang diburuk-burukkan. Melengkapkan gejala bias dan diskriminasi ini adalah gejala perkauman.
Perkauman atau rasisme pula adalah satu bentuk prejudis yang merangkumi reaksi emosi negatif terhadap ahli sesuatu kumpulan, penerimaan stereotaip negatif, serta diskriminasi kaum terhadap individu. Bumbu negatif dalam sesetengah keadaan ini malangnya boleh membawa kepada keganasan.
Kita mesti faham, apa kaum pun berpotensi melakukan jenayah rompak, bunuh, samun, rogol, liwat, sumbang mahram, merasuah, atau menyerang seseorang baik yang diserang itu orang biasa, ataupun ketua kerajaan.
Dalam masyarakat yang berbilang kaum dan kepercayaan seperti kita di Malaysia, kenyataan tidak ada otak begini terdorong dari kebencian atau bias meluap-luap. Ia muncul dari sikap prejudis yang tidak tertahan-tahan. Ia datang dari ‘brainwash’ atau ‘torture’ otak yang berulangan dari kecil, katakan di tabika – dan kemudian membawa kepada kumpulan usrah atau tamrin di universiti.
Sekiranya ini dibiar, tanpa ditegur kita akan berakhir menjadi seperti Amerika Syarikat di mana secara stereotaipnya setiap jenayah berlaku akan dikaitkan dengan kaum tertentu seperti orang berkulit hitam; atau di Australia di mana asal ada kejadian pecah rumah, yang dituding jari selalunya adalah orang natif.
Kita tidak menafikan terdapat laporan indeks jenayah yang dikategori atau dibahagi penemuannya mengikut kaum. Hal ini memang menjadi rekod rasmi kerajaan. Namun demikian ia dikaji dan dilapor dengan tujuan untuk menyediakan pihak berkuasa satu data bagi melakukan analisis agar terdapat satu tindakan bersepadu untuk mengatasinya.
Pihak yang beroleh data begini, yang kadang-kala terdiri Ahli Parlimen, pensyarah universiti, agensi tertentu kerajaan seperti pencegahan dadah dan sebagainya memerlukan rekod ini untuk merangka satu program pemulihan atau intervensi. Ia bukan dikemukakan dengan niat untuk dihebahkan dalam media, dan dijadikan bahan perli, stigmatisasi apatah lagi dimuatkan di media sosial dengan serta-merta. Media pula tidak bertanggungjawab. Bila ditegur kadang-kala melenting kononnya terhalang melakukan tugas. Kita tidak lupa pengamal media sendiri boleh jadi mangsa ‘brainwash’ di tabika sejak kecil.
Apa yang kita lihat dari contoh-contoh di atas adalah berasal dari kebencian. Hal ini iaitu kebencian boleh menyebabkan keganasan, dan ia dinamai hari ini sebagai jenayah kebencian, atau jenayah yang disebabkan oleh kebencian. Apakah pengalaman baik yang boleh kita contohi dalam menyekat kebencian?
Saya fikir suka atau tidak, dalam masyarakat yang berbilang, kita perlu mengawal banyak mana sesuatu itu boleh dan perlu dibincang atau didebatkan. Media kalau tidak tahu dan tidak pandai bertanggungjawab, maka mereka juga boleh diregulasi.
Ramai pihak mengkritik kebebasan bersuara di Singapura. Tetapi kita mesti memahami yang Singapura berjaya mengawal kegelisahan kaum, kebencian dan bias dengan cara ini. Julai tahun lalu, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-undang, K Shanmugam, dalam satu ‘Forum Ketegangan Kaum Tidak Melibatkan Keganasan’ di Singapura menyatakan begini:
“Terdapat satu kepercayaan ideologi hebat bahawa banyaknya perdebatan akan mewujudkan pemahaman dan toleransi. Banyaknya api akan timbulkan cahaya. Namun pada saya, dalam isu-isu seperti ini, perdebatan berterusan hanya akan menerbitkan cakapan yang lebih ekstrem. Terdapat juga pelaku akan datang dan mengambil peluang daripada situasi ini atas sebab-sebab tertentu, antaranya yang lazim ialah politik identiti. Anda cuba mempengaruhi orang menggunakan rasa kaum, rasa keturunan, rasa agama – ini sudah dianggap politik identiti. Bukankah lebih baik untuk memahami bahawa terdapat perbezaan, dan kemudian menanganinya dan terima hakikat bahawa kita berbeza, sambil cuba memegang identiti individu kita, tetapi pada masa yang sama, perolehi data, lihat kemajuan komuniti yang berbeza, cuba dan bawa semua orang dan pada masa yang sama, tindihkannya dengan identiti warga Singapura?”
Jangan cemik, jangan mencemik terhadap Singapura. Hari ini kebanyakan kebencian, bias, dan rasis ini datang daripada ahli politik kanan, baik dari parti berasaskan ketuanan Melayu, mahupun ketuanan agama tertentu.
Satu contoh baik boleh dicontoh dari negara jiran ini adalah Akta Mengekalkan Keharmonian Kaum (MHRA), yang mereka gubalkan pada tahun 1990. Akta ini memperuntukkan kuasa mengekalkan keharmonian agama di Singapura. Ia telah dipinda pada 2019 untuk bertindak balas dengan lebih berkesan kepada sebarang insiden yang boleh menjejas keharmonian agama.
Di bawah MHRA ini pihak berkuasa mempunyai kuasa untuk mengeluarkan Perintah Sekatan terhadap mana-mana ulama yang terlibat dalam ucapan kebencian. Jadi di Singapura, Muftinya tidak akan mengomel hal-hal kaum di media sosial.
Pun di Singapura bukan ulama sahaja yang dikontrol. Terdapat kes di mana seorang paderi Kristian memuatkan bahan kandungan di saluran YouTube untuk memerli penganut Buddha dan Tao. Paderi ini dipanggil menghadap dengan ISD (Jabatan Keselamatan Dalam Negeri) dan setelah itu memohon maaf. Dia diberi pendidikan bahawa kenyataan tidak bertanggungjawabnya boleh membawa kepada pergeseran dan akhirnya huru-hara.
Sejak Singapura memiliki Akta Mengekalkan Keharmonian Agama pula, suka tidak suka tidak ada perkelahian besar berkait agama. Mana-mana ulama atau paderi dari luar yang suka mengeluarkan kenyataan biadab terhadap pihak lain akan dihalang masuk. Suka tidak suka, masyarakat akan terdidik dan akhirnya menahan diri untuk kebaikan, berkelakuan baik, melayani satu sama lain meskipun berbeza etnik dan agama dengan penuh adab dan berbudi bahasa.
Jadi, tidak akan ada kes muatan di Facebook yang mengaitkan sesuatu jenayah dengan kaum. Juga ahli politik tidak akan berani menggunakan identiti tertentu sebagai bahan pemanas kempen dan agenda mereka.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.