
Perkara itu didedahkan Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki yang memaklumkan semua pelajar Tingkatan 5 itu dicadang untuk dibuang.
“Pagi-pagi lagi ramai tag perihal insiden buli yang berlaku di salah sebuah MRSM di Melaka. Terus saya minta laporan dari pengurusan Mara.
“Enam pelajar Tingkatan 5 terlibat buli digantung dan dicadang untuk dibuang. Tak perlu merayu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Bagaimanapun, Asyraf tidak memberikan butiran lanjut mengenai kejadian buli itu dan bila ia berlaku.
Pada 28 Jun lalu, tujuh pelajar MRSM Besut direman tiga hari bermula bagi membantu siasatan kes buli di sekolah berkenaan.
Media melaporkan seorang pelajar sekolah itu didakwa dibuli sekumpulan pelajar senior hingga cedera pada perut, rusuk dan belakang badan.
Asyraf sebelum ini berkata pengurusan Mara akan memastikan budaya buli dihapuskan hingga ke akar.
Beliau berkata pihaknya menetapkan sasaran ‘sifar buli’ di semua MRSM agar budaya toksik seperti itu tidak lagi berlaku dan perlu dihapuskan segera.