Balik Pulau menang ragbi, semua MRSM cuti esok

Balik Pulau menang ragbi, semua MRSM cuti esok

Semua MRSM di seluruh negara cuti esok sempena kemenangan bergaya MRSM Balik Pulau pada Kejohanan Super Schools Rugby 2025.

MRSM Balik Pulau menjadi MRSM pertama juarai Kejohanan Super Schools Rugby selepas menewaskan VI 14-13 dalam aksi final di Putrajaya. (Gambar Facebook Mara)
KUALA LUMPUR:
Semua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara diisytiharkan cuti esok sebagai tanda penghargaan atas kejayaan MRSM Balik Pulau menjuarai Kejohanan Super Schools Rugby 2025.

Perkara berkenaan diumumkan Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di media sosialnya malam ini bagi meraikan pencapaian cemerlang pasukan ragbi itu yang telah mengharumkan nama MRSM.

“Semua MRSM di seluruh negara diisytiharkan cuti esok bersempena dengan kejayaan MRSM Balik Pulau menjuarai Kejohanan Super Schools Rugby 2025. Tahniah MRSM BP Cougars,” katanya.

Cougars BP mencipta sejarah apabila muncul pasukan MRSM pertama menjuarai Kejohanan Super Schools Rugby apabila menewaskan Victoria Institution (VI) 14-13 dalam aksi final di Taman Ekuestrian Putrajaya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar menerusi perkongsian di Facebook turut mengucapkan tahniah atas kejayaan bergaya itu.

“Lebih manis lagi, kemenangan itu hadir selepas menewaskan pasukan hebat VI dalam perlawanan akhir yang cukup sengit sebentar tadi.

“Selepas 10 tahun menyertai kejohanan ini, akhirnya Cougars berjaya membawa pulang kejuaraan dalam saingan berprestij itu. Syabas MRSM Balik Pulau terus harumkan nama sekolah dan institusi MARA!” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.