Selatan Thai kuat kuasa kad sim dengan gambar pengguna telefon bimbit

Selatan Thai kuat kuasa kad sim dengan gambar pengguna telefon bimbit

Mulai hari ini, untuk mendaftar kad sim, pengguna telefon bimbit wajib membawa kad pengenalan dan telefon bimbit kemudian diikuti dengan pengambilan gambar untuk pengesahan identiti.

National Broadcasting and Telecommunications Commissions (NBTC) Thailand mengeluarkan arahan untuk pengguna telefon bimbit membuat pendaftaran kad sim mereka dan wajib disertakan dengan gambar pemilik.
PATTANI:
Pengguna telefon bimbit di tiga wilayah bergolak selatan Thai – Pattani, Yala dan Narathiwat dan empat daerah di Songkhla, berebut membuat pendaftaran kad sim dengan gambar masing-masing, sebelum perkhidmatan telefon mereka ditamatkan mulai hari ini.

Semalam merupakan tarikh terakhir pendaftaran baru yang bermula 18 Jun lepas, bagi pengguna telefon bimbit di tiga wilayah di selatan Thai itu dan empat daerah di Songkhla – Sabayoi, Chanak, Nathavi dan Thepa.

Syarikat telekomunikasi dan pusat khidmat pelanggan penuh sesak dan dipenuhi pengguna-pengguna yang ingin membuat pendaftaran, pada saat akhir.

Sebelum ini, National Broadcasting and Telecommunications Commissions (NBTC) Thailand mengeluarkan arahan untuk pengguna telefon bimbit membuat pendaftaran kad sim mereka dan wajib disertakan dengan gambar pemilik.

Untuk mendaftar kad sim, pengguna telefon bimbit wajib membawa kad pengenalan dan telefon bimbit kemudian diikuti dengan pengambilan gambar untuk pengesahan identiti.

Sebelum ini, jurucakap Tentera Divisyen ke-empat, Kol Pramote Prom-in berkata langkah itu merupakan mekanisme terbaik bagi menghentikan tindakan sesetengah penduduk tempatan yang dijadikan ‘kambing hitam’ oleh anggota kumpulan bersenjata.

Pramote berkata pihak berkuasa Thailand mendapati banyak insiden keganasan di selatan Thai menggunakan isyarat penerimaan telefon bimbit bagi tujuan mencetuskan letupan.

Selain itu, beliau berkata langkah itu akan membantu pihak berkuasa berkaitan mengenal pasti penjenayah bersenjata, yang menggunakan isyarat penerimaan telefon bimbit untuk meletupkan bom buatan sendiri di kawasan itu.

Aktivis hak asasi melihatnya sebagai satu langkah yang melanggar hak asasi manusia, di kawasan berpenduduk majoriti Muslim di selatan negara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.