Bekas pengurus salah guna kuasa dipenjara sehari, denda lebih RM20,000

Bekas pengurus salah guna kuasa dipenjara sehari, denda lebih RM20,000

Shahrizal Ridzuan Ambak sebelum ini bertugas di bahagian pentadbiran dan sumber manusia Ladang Rakyat Terengganu.

Shahrizal Ridzuan Ambak, 48, dijatuhi hukuman penjara dan denda di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang bekas pengurus di Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd dipenjara sehari serta didenda RM22,143 kerana menyalahgunakan kuasa bagi mendapatkan suapan lebih RM4,000.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu Mohd Azhar Othman menjatuhkan hukuman itu selepas Shahrizal Ridzuan Ambak, 48, yang sebelum ini bertugas di bahagian pentadbiran dan sumber manusia, mengaku bersalah atas tuduhan terhadapnya.

Shahrizal Ridzuan dituduh menggunakan jawatannya bagi mendapat suapan dengan membekalkan kad SIM kepada 117 pekerja ladang warga India bernilai RM4,428.60 di Ladang Rakyat Terengganu, Cheneh dekat Kemaman antara Julai hingga Sept 2022.

Tertuduh mempunyai kepentingan bagi urusan itu kerana anaknya merupakan ejen pembekalan kad SIM itu, lapor Bernama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Nur Mahirah Mohd Fauzi manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hazwan Hamidun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.