Kami tiada pilihan kecuali tutup akaun bank warga Iran, kata Dr M

Kami tiada pilihan kecuali tutup akaun bank warga Iran, kata Dr M

Perdana menteri berkata, Malaysia dipaksa menutup akaun bank individu dan syarikat Iran atau 'orang sangat berkuasa itu 'akan menutup bank Malaysia di negara lain.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mengakui Malaysia menghadapi tekanan untuk menutup akaun bank individu dan syarikat Iran, tetapi beliau mempertahankan hubungan dua hala dengan Tehran di tahap baik.

“Kita dipaksa menutup akaun bank itu oleh pihak tertentu. Jika tidak, mereka akan tutup bank kita di luar negara,” katanya sambil menambah orang ramai boleh meneka siapa pihak itu.

Perdana menteri berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Kementerian Pendidikan hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Maszlee Malik dan Timbalannya, Teo Nie Ching.

Ditanya jika tindakan itu akan menyukarkan pergerakan warga Iran di negara ini, Mahathir berkata, itulah tujuan langkah berkenaan.

Tetapi, katanya, ia tidak bermakna Malaysia “membantu” menyekat pergerakan warga Iran di sini, sebaliknya negara dipaksa berbuat demikian.

“Ia adalah bentuk buli yang dilakukan orang sangat berkuasa.”

Terdahulu, Reuters hari ini melaporkan beberapa bank di Malaysia menutup akaun individu dan syarikat Iran, dipercayai ada kaitan dengan sekatan yang dilaksanakan Washington.

Malaysia masih mengekalkan hubungan diplomatik yang baik dengan Tehran dan pemimpin kedua-dua negara membincangkan cara memperkukuhkan hubungan itu minggu lalu, walaupun Washington melaksanakan sekatan ke atas program nuklear Iran pada akhir tahun lalu.

Tidak jelas jika penutupan akaun itu ada kaitan dengan sebuah kapal tangki minyak Iran dikesan di luar pesisir Malaysia tahun ini, perkembangan yang tidak disenangi AS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.