Syarikat Malaysia berisiko hilang lebih separuh keuntungan jika langgar sekatan AS

Syarikat Malaysia berisiko hilang lebih separuh keuntungan jika langgar sekatan AS

Skandal cip Nvidia Singapura baru-baru ini jadi peringatan tepat agar syarikat Malaysia kukuh langkah pematuhan, kata pakar.

Sippel
Penasihat di Aqran Vijandran, Harald Sippel, menasihati syarikat Malaysia agar mengetatkan langkah pematuhan untuk mengelakkan sekatan AS.
PETALING JAYA:
Syarikat Malaysia yang banyak bergantung pada barangan terhad seperti semikonduktor atau teknologi kecerdasan buatan (AI) boleh kehilangan lebih 50% keuntungan jika termasuk dalam mana-mana senarai pihak yang dihadkan oleh Amerika Syarikat, menurut seorang pakar.

Harald Sippel, penasihat kanan asing di Aqran Vijandran, sebuah firma guaman yang pakar dalam undang-undang komersial dan korporat berkata, sebaik sahaja sesebuah syarikat termasuk dalam senarai sedemikian, aksesnya kepada pembekal, teknologi dan perkhidmatan kewangan penting akan tersekat.

Katanya, banyak rakan kongsi antarabangsa, termasuk bank, penanggung insurans dan penyedia logistik, akan mengelak berurusan dengan syarikat tersenarai supaya tidak terkena sekatan selanjutnya.

“Ini bukan sahaja mengakibatkan kerugian perniagaan sedia ada tetapi juga menafikan syarikat-syarikat ini peluang pada masa akan datang,” katanya kepada FMT.

“Bagi pengeksport teknologi dan elektronik, ketidakupayaan mencapai pasaran asing utama seperti AS atau Kesatuan Eropah boleh menjadi bencana, kerana permintaan pasaran alternatif mungkin lebih lemah atau menawarkan keuntungan lebih rendah.”

Sippel berkata demikian berhubung skandal cip Nvidia Singapura, yang menurutnya menjadi peringatan tepat pada masanya agar syarikat-syarikat Malaysia mengukuhkan langkah pematuhan mereka.

Cip itu didakwa dibenam dalam pelayan yang dibekalkan oleh Dell dan Supermicro kepada syarikat berpangkalan di Singapura sebelum dihantar ke Malaysia, menurut laporan media Singapura.

Dakwaan berhubung cip itu timbul ketika AS sedang menyiasat syarikat AI China DeepSeek untuk menentukan sama ada ia membeli semikonduktor Nvidia yang canggih melalui pihak ketiga di Singapura, mengatasi sekatan Washington.

Bagaimanapun, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz berkata, tiada keputusan atau laporan menunjukkan bahawa cip AI Nvidia dalam pelayan dipindahkan ke Malaysia dari Singapura, seperti yang didakwa.

Sippel yang sebelum ini menulis bahawa sekatan itu mewakili risiko lebih besar berbanding tarif berkata, termasuk dalam senarai terhad itu hanyalah sebahagian masalahnya.

Menurutnya, isu lain yang perlu ditangani adalah bagaimana untuk keluar daripada senarai itu bagi membolehkan operasi perniagaan disambung semula seperti biasa, suatu proses yang rumit dan memakan masa.

Beliau berkata, syarikat mesti menunjukkan pematuhan penuh, melaksanakan langkah pemulihan, dan dalam banyak kes, memfailkan petisyen dengan badan kawal selia seperti Jabatan Perdagangan AS.

“Proses ini memakan masa dari beberapa bulan hingga bertahun-tahun, tanpa jaminan akan berjaya. Dalam sesetengah kes, syarikat kekal terhad selama-lamanya, terutamanya jika pelanggaran melibatkan kebimbangan keselamatan AS.”

Sippel seterusnya berkata, ketidakpatuhan oleh syarikat Malaysia terhadap kawalan eksport yang ketat juga boleh membawa kepada kehilangan keistimewaan eksport, yang akan memberi kesan besar kepada operasi perniagaan.

Kehilangan keistimewaan eksport bermakna syarikat tidak boleh mengeksport produknya secara sah atau menerima komponen asing penting, yang boleh melumpuhkan operasi, katanya.

Sippel berkata, pengeluaran oleh syarikat yang bergantung pada rantaian bekalan antarabangsa boleh terhenti disebabkan kekurangan bahan mentah, perisian atau alat ganti.

“Ini juga boleh menjejaskan pembiayaan, kerana bank mungkin melihat syarikat itu berisiko tinggi, dan menyekat akses kepada pembiayaan kredit atau perdagangan,” tambahnya.

Sippel berkata, kini lebih penting untuk syarikat yang kerap mengeksport teknologi atau komponen berteknologi tinggi memahami kedua-dua rangka kerja kawalan eksport Malaysia dan AS, memandangkan pematuhan proaktif ‘bukan sahaja akan melindungi syarikat daripada penalti tetapi juga memastikan mereka mengekalkan reputasi yang kukuh dalam pasaran global’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.