Kesan sekatan pasaran AS terhadap minyak sawit dijangka minimum

Kesan sekatan pasaran AS terhadap minyak sawit dijangka minimum

Tahap kebergantungan industri di AS terhadap bahan berasaskan sawit mampan adalah tinggi, kata KPK.

Minyak sawit dari Malaysia dipersijilkan mampan oleh MSPO dan mempunyai ciri serta fungsi khusus yang sukar digantikan dengan minyak lain, menurut KPK. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kesan langsung daripada sekatan atau cabaran pasaran Amerika Syarikat (AS) terhadap industri minyak sawit Malaysia dijangka pada tahap minimum, kata Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

Menurut kementerian minyak sawit dari Malaysia dipersijilkan mampan oleh Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan mempunyai ciri dan fungsi khusus yang sukar digantikan dengan minyak lain.

“Oleh itu, tahap kebergantungan industri di AS terhadap bahan berasaskan sawit yang mampan adalah tinggi,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

KPK menjawab soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) mengenai pelan jangka pendek dan sederhana yang dirangka kerajaan untuk industri sawit menyesuaikan diri dengan pasaran AS.

Menurut kementerian, tahun lepas, Malaysia mengeksport 191,231 tan metrik minyak sawit ke AS, dengan nilai ini hanya 1.1% daripada jumlah keseluruhan eksport minyak sawit negara bagi tahun itu.

Pada masa sama, katanya, kerajaan tetap komited menyediakan pelbagai bentuk sokongan khususnya kepada pekebun kecil.

“Sebagai contoh Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit serta geran khas seperti pembekalan produk untuk kawalan penyakit reput pangkal batang ganoderma bagi membantu pekebun kecil.

“Bantuan sebegini boleh membantu untuk mengurangkan kesan atau impak kepada pekebun kecil di Malaysia daripada perubahan dasar perdagangan pada peringkat antarabangsa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.