
Ketua Polis Perak Azizi Mat Aris berkata, kejadian itu disedari pegawai penjara yang melihat banduan berusia 39 tahun itu duduk bersendirian menghadap dinding dalam keadaan mencurigakan di dewan penjara semalam, lapor Sinar Harian.
Katanya, ketika pegawai itu menghampiri banduan tersebut, lelaki tersebut dilihat mengambil sesuatu bungkusan plastik bewarna merah dari poket seluar dan mencampakkannya ke lantai.
“Pegawai penjara itu yang membuat pemeriksaan kemudiannya menemui dua peket plastik lutsinar berisi bahan berwarna kuning seberat 46 gram serta satu peket plastik lutsinar berisi bahan berwarna merah jambu dengan anggaran berat 30 gram yang masing-masing disyaki dadah jenis heroin.
“Dadah yang dirampas ini disyaki untuk diedarkan di dalam penjara,” katanya yang menambah polis masih menyiasat bagaimana dadah itu masuk ke dalam penjara.
Katanya, dadah itu dianggarkan bernilai RM1,900 dan dipercayai boleh digunakan untuk seramai kira-kira 50 penagih dadah.
Menurutnya, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mengedar dadah.
Azizi berkata, banduan tersebut berada di penjara sejak 2018 selepas disabitkan dengan kesalahan mengedar dadah.
Katanya, banduan itu juga akan turut disiasat sama ada mempunyai kaitan dengan cubaan menyeludup dadah menggunakan dron di penjara yang sama pada 9 Ogos lalu.
Pada 13 Ogos lalu, Azizi berkata lima pegawai Penjara Tapah disiasat selepas sebuah dron yang membawa dadah ditemui terhempas di bumbung salah sebuah blok penjara.