
Dalam jawapan bertulis disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen hari ini, kementerian itu berkata, implikasi sekatan itu berbentuk individu, iaitu antara lain, syarikat terlibat kehilangan akses terhadap sistem kewangan, perdagangan dan perkhidmatan yang mempunyai pangkalan operasi di AS.
“Tiada satu pun syarikat perdagangan tersebut berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) untuk sebarang lesen pembuatan atau insentif.
“Ini bermakna mereka semua peniaga dan bukan pengilang,” kata kementerian itu.
Kenyataan itu bagi menjawab pertanyaan Ronald Kiandee (Perikatan Nasional-Beluran) yang meminta Miti menyenaraikan syarikat Malaysia yang dikenakan sekatan unilateral dan kesannya terhadap eksport negara.
Lima syarikat yang dikenakan sekatan sejak Disember 2023 terdiri daripada Skyline Advanced Technologies Sdn Bhd, Nava Hobbies Sdn Bhd; Integrated Scientific Microwave Technology Sdn Bhd; Arta Wave Sdn Bhd; dan Jatronics Sdn Bhd.
Menurut Miti, kelima-lima syarikat tersebut disyaki menjalankan kegiatan jual beli dan membekalkan barangan, antaranya memudahkan pemindahan bahan, komponen dan teknologi strategik bagi program senjata Iran atau kepada angkatan bersenjata Rusia.
Sementara itu, menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai status siasatan terhadap Jatronics dan tindakan susulan kerajaan, Miti berkata, pihaknya telah berjumpa dengan pengarah syarikat itu untuk mendapatkan gambaran sebenar situasi yang berlaku.
“Jatronics memaklumkan, kebanyakan aktiviti pengeksportan mereka melibatkan eksport barangan litar bersepadu terutamanya ke Rusia,” katanya.
Menurut Miti, pihaknya sentiasa berhubung dengan Kedutaan AS di Kuala Lumpur untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai sekatan unilateral tersebu.
Pada masa yang sama, katanya, Miti mengadakan satu sesi perkongsian maklumat mengenai tatacara menyahsenarai syarikat daripada sekatan berkaitan dengan sebuah firma guaman Amerika Syarikat (secara pro bono).
Dalam pada itu, Miti turut bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mendapatkan pandangan lanjut mengenai implikasi perkhidmatan kewangan kepada syarikat yang disekat secara unilateral.