Bank Malaysia tutup akaun warga Iran selepas sekatan AS

Bank Malaysia tutup akaun warga Iran selepas sekatan AS

Tidak jelas jika penutupan akaun itu ada kaitan dengan sebuah kapal tangki minyak Iran dikesan di luar pesisir Malaysia tahun ini, perkembangan yang tidak disenangi AS.

Ramai warga Iran berkata, mereka tahu ada berpuluh-puluh rakan senegara yang menerima notis penutupan akaun daripada CIMB dan RHB Bank.
KUALA LUMPUR:
Beberapa bank di Malaysia menutup akaun individu dan syarikat Iran, petanda menunjukkan sekatan Amerika Syarikat mempunyai kesan meluas ke atas rakyat negara Islam itu, hampir 12 orang yang terjejas dengan tindakan itu memberitahu Reuters.

Walaupun bank Malaysia kelihatan lebih berhati-hati dalam menangani warga Iran berbanding tempat lain, sesetengah rakyat Iran dan seorang pegawai kedutaan berkata, ada “penutupan besar-besaran” di negara Asia Tenggara dalam beberapa bulan ini.

Bank itu “lebih katolik daripada pope”, kata pensyarah universiti, Behrang Samadi yang merupakan antara 10,000 warga Iran dianggarkan tinggal di Malaysia dan mendapat tahu pada Ogos lalu CIMB akan menutup akaunnya yang dibuka sejak 14 tahun lalu.

“Di negara Barat, tiada masalah membuka akaun bank. Mereka hanya sensitif mengenai pemindahan wang, khasnya dalam jumlah besar.”

Samadi berkata, dia mengeluarkan wangnya sejurus selepas bank memberi amaran akan menutup akaunnya dalam masa sebulan, tetapi dia masih dapat mengakses akaunnya secara dalam talian pada Ahad lalu.

Malaysia masih mengekalkan hubungan diplomatik yang baik dengan Tehran dan pemimpin kedua-dua negara membincangkan cara memperkukuhkan hubungan itu minggu lalu, walaupun Washington melaksanakan sekatan ke atas program nuklear Iran pada akhir tahun lalu.

Tidak jelas jika penutupan akaun itu ada kaitan dengan sebuah kapal tangki minyak Iran dikesan di luar pesisir Malaysia tahun ini, perkembangan yang tidak disenangi AS.

Jabatan Negara AS dan jurucakap Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad tidak memberi respons terhadap tindakan itu.

Ramai warga Iran berkata, mereka tahu ada berpuluh-puluh rakan senegara yang menerima notis penutupan akaun daripada CIMB dan RHB Bank.

“Kami kesal untuk memaklumkan kami tidak dapat meneruskan hubungan perbankan ini,” kata CIMB dalam notis yang dilihat Reuters.

Bank itu bagaimanapun tidak menyatakan sebabnya, tetapi ada yang berkata, pegawai bank mengaitkan langkah itu kepada penelitian lebih ketat selepas sekatan dilaksanakan.

CIMB dan RHB enggan mengulas. Bank Negara Malaysia mengajukan pertanyaan kepada Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia yang enggan mengulas.

BNM dalam e-mel menjawab aduan seorang warga Iran bulan ini yang dilihat Reuters, berkata perkara itu bergantung kepada keinginan dan penilaian risiko bank masing-masing.

Tetapi, BNM dalam satu pemberitahuan pada Julai lalu di laman webnya merujuk kenyataan Pasukan Petugas Tindakan Kewangan yang menggesa “usaha wajar dipertingkatkan” ke atas warga Iran oleh ahli pemantau pengubahan wang haram global.

Kedutaan Iran di Kuala Lumpur berkata, ia sedang berusaha menyelesaikan isu itu.

“Kami berharap dengan kerjasama dan semangat muhibab pegawai Malaysia, rundingan itu akan membawa keputusan positif,” katanya kepada Reuters dalam e-mel minggu lalu sambil menambah syarikat Iran turut terjejas dengan langkah berkenaan.

Buat masa ini, warga Iran di Kuala Lumpur sedang memikirkan cara untuk membayar yuran sekolah atau kos rawatan hospital.

“Tanpa akaun bank, kami perlu menggunakan teknik kuno, simpan wang di bawah bantal atau dalam teko. Ini tidak adil,” kata seorang warga Iran yang terjejas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.