Persatuan perubatan sambut baik ujian baru bagi doktor pakar

Persatuan perubatan sambut baik ujian baru bagi doktor pakar

Persatuan Perubatan Malaysia berkata, peperiksaan yang seragam dan berpusat kendalian pihak berkuasa berkecuali itu mampu menjamin kualiti doktor pakar.

PETALING JAYA:
Doktor yang mengikuti pengajian kepakaran di universiti awam kini perlu mengambil Peperiksaan Pra-Kemasukan yang baru, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presidennya, Dr N Ganabaskaran berkata, peperiksaan yang seragam dan berpusat kendalian pihak berkuasa berkecuali itu mampu menjamin kualiti doktor pakar.

Beliau mendapati program pasca siswazah yang dikendalikan universiti awam ketika ini tidak seragam dengan pelbagai kriteria digunakan untuk kemasukan ke program berbeza dan peperiksaan dikendalikan barisan pakar bebas.

“Sesetengah pakar seperti pembedahan am memerlukan temuduga dan lulus peperiksaan pra-kemasukan, sementara yang lain seperti ortopedik dan oftalmologi menjalankan peperiksaan sains asas sebagai peperiksaan kemasukan,” katanya kepada FMT.

Awal bulan ini, Majlis Dekan Perubatan Malaysia (MDCM) mengumumkan doktor yang mengikuti pengajian kepakaran kini dikehendaki mengambil Peperiksaan Pra-Kemasukan Ijazah Lanjutan Perubatan (MedEX) yang akan dikendalikan MDCM dan Majlis Pendidikan Malaysia.

Ganabaskaran percaya penyeragaman peperiksaan itu dapat memastikan keadilan dan ketelusan.

Beliau berkata, satu-satunya kebimbangan yang timbul ialah bayaran peperiksaan itu yang terlalu tinggi – RM800.

Katanya, MMA meminta pihak berkaitan mempertimbangkan bayaran itu dikurangkan kepada RM500.

Ahli Majlis Perubatan Malaysia, Dr Milton Lum yakin MedEx dapat membantu menentukan kebolehan dan profesionalisme yang diperlukan bakal doktor pakar untuk memastikan kualiti perkhidmatan mereka.

Beliau berkata, doktor yang sedang mengikuti pengajian kepakaran di universiti awam dipilih Kementerian Kesihatan melalui proses yang disifakannya tidak memuaskan dan ia ditunjukkan menerusi kadar keciciran tinggi dalam program sedemikian.

“MDMC sedang menjalankan peperiksaan ini untuk mengawal kemajuannya.

“Saya menganggapnya percubaan untuk mengawal proses memilih kepakaran secara sembarangan.”

Beliau berkata, MedEx perlu kuat, telus dan sedia berubah sejajar peredaran masa.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Doktor Islam Malaysia, Dr Ahmad Shukri Ismail berkata, MedEx boleh membantu menentukan kualiti penjagaan pakar dengan mengurangkan “terlalu ramai” doktor yang mahu menjadi doktor pakar.

Beliau berkata, lebih 5,000 doktor menamatkan pengajian setiap tahun dan hospital di Malaysia cukup untuk menampung mereka.

Katanya, melalui pemilihan teliti dan peperiksaan pra-kemasukan yang seragam, ia mampu mengurangkan jumlah doktor yang ramai dan memastikan mereka berpengetahuan serta cekap.

MedEx pertama akan diadakan 16 Nov ini di lima pusat, iaitu Majlis Peperiksaan Malaysia, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Hospital Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Malaysia Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.