Doktor pakar antara 5 nama didakwa ‘pembuli’, kata Khairy

Doktor pakar antara 5 nama didakwa ‘pembuli’, kata Khairy

Menteri kesihatan berkata, lima doktor yang didakwa 'pembuli' itu masih bertugas seperti biasa, sementara siasatan dijalankan.

Sekumpulan jururawat bergambar dengan Khairy Jamaluddin sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia di Putrajaya hari ini. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, doktor pakar adalah antara nama lima doktor yang didakwa “pembuli” di Hospital Pulau Pinang (HPP) yang diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

Bagaimanapun katanya, semua doktor itu masih bertugas seperti biasa sementara siasatan dijalankan.

“Kita tidak boleh memindah keluar atau menggantung tugas doktor berkenaan.

“Bukan senang terus gantung sebab ada nama dihantar kepada saya di peringkat pakar, bukan senang nak ‘transfer’ pakar. Buat sekarang, semua bertugas seperti biasa, tapi dalam masa sama siasatan dijalankan,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Jururawat Sedunia di sini.

Semalam, Exco Kesihatan Pulau Pinang, Norlela Ariffin berkata, beliau sudah menghantar nama lima doktor di HPP yang didakwa “paling toksik” kepada KKM untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun katanya, lima doktor itu tiada kaitan dengan kes seorang doktor pelatih HPP yang maut akibat terjatuh dari pangsapuri di Jalan Datuk Keramat bulan lalu.

Khairy turut mengakui KKM menerima banyak aduan dan dakwaan membabitkan doktor pakar yang dikatakan terbabit dalam isu membuli doktor pelatih.

“Jadi demi keadilan ia mestilah melalui satu proses telus dan (laporan) akan diserahkan kepada saya nanti.”

Dalam pada itu katanya, senarai nama ahli jawatankuasa petugas bebas yang ditubuhkan untuk menyiasat kematian seorang doktor pelatih di HPP pada bulan lalu dan dakwaan budaya membuli doktor pelatih akan diumumkan esok tetapi beliau bukannya pengerusi jawatankuasa itu.

“Esok saya akan umumkan (ahli jawatankuasa), ia bersekali dengan terma dan rujukan.”

Beliau berkata, kebiasaannya siasatan akan selesai dalam beberapa minggu kerana ia membabitkan tuduhan berat, iaitu budaya kerja tidak profesional atau buli.

“Ia akan babitkan sesi temu bual pengadu dan pakar yang dituduh, jadi lebih baik beri sedikit masa untuk pasukan bertugas dan unit integriti yang biasanya kita laksanakan tindakan tatatertib.

“Namun kita akan tengok pada kedua-dua hasil siasatan ini dulu sebelum sebarang tindakan dapat diambil,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang pegawai perubatan siswazah yang ditempatkan di HPP pada 4 April lalu, dipercayai terjatuh dari tingkat 23 pangsapuri yang disewanya di Jalan Datuk Keramat, George Town pada 17 April lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.