
Sehubungan itu, Pejabat Naib Canselor universiti itu menerusi kenyataan media berkata KSHAS akan beroperasi seperti biasa sehingga kajian itu siap untuk pertimbangan Lembaga Pengarah Uniten.
“Cadangan penggabungan KSHAS untuk dijadikan satu entiti dengan kampus Putrajaya menerusi Operasi Kampus Berpusat adalah masih di peringkat konsep dan kajian terperinci masih dijalankan bagi memastikan hasil terbaik untuk semua pihak khususnya masyarakat setempat.
“Uniten komited untuk mengembangkan pengetahuan dan pembelajaran melalui penyelidikan dan inovasi yang memberi faedah kepada masyarakat,” menurut kenyataan itu.
Pada 28 Sept lalu, Uniten mengesahkan penggabungan KSHAS dan kampus Putrajaya menerusi inisiatif ‘Reimagining Uniten’ bagi melonjakkan nama universiti dalam berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa, khususnya dengan cabaran semasa landskap pendidikan tinggi negara masa kini.
Cadangan itu bagaimanapun mendapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri Pahang, badan bukan kerajaan dan ahli politik kerana menyifatkan tindakan itu akan menjejaskan pembangunan sosioekonomi di kawasan tersebut.