
Menterinya, Zambry Abd Kadir, berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang pemakluman mengenai arahan penutupan kampus itu.
“Tidak ada. Tidak sampai berita itu kepada saya walaupun saya dengar-dengar daripada luar tetapi saya nak maklumkan tidak ada arahan secara terus ataupun disampaikan secara tidak langsung kepada pengetahuan saya.
“Saya kata berdasarkan maklumat yang telah saya semak dengan pegawai-pegawai kanan saya. Mereka maklumkan tidak ada apa dimaklumkan kepada mereka seperti yang digembar-gemburkan,” katanya kepada pemberita, selepas majlis pelancaran Landasan Hala Tuju KPT 2024 di Universiti Malaya.
Zambry berkata semakan dengan ketua pengarah pendidikan tinggi semalam juga mengesahkan bahawa tidak ada usaha menutup kampus Uniten itu.
Kerajaan Pahang sebelum ini dilaporkan tidak bersetuju dengan cadangan penutupan Uniten KSHAS kerana langkah itu akan memberi implikasi tidak baik kepada kelangsungan pengajian anak-anak muda dan peluang perniagaan serta pembangunan ekonomi penduduk setempat.
Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail dipetik sebagai berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri membuat keputusan sebulat suara mengenai perkara itu dalam mesyuaratnya pada Rabu lepas.