UPM tubuh jawatankuasa siasat dakwaan anjing liar dibunuh

UPM tubuh jawatankuasa siasat dakwaan anjing liar dibunuh

Universiti itu menzahirkan rasa kesal dan menegaskan tidak akan berkompromi dengan kejadian yang berlaku.

Universiti Putra Malaysia UPM
Universiti Putra Malaysia berkata pihaknya memandang serius setiap maklum balas serta dakwaan terhadap universiti berkait pengurusan haiwan liar. (Gambar Wikipedia Commons)
PETALING JAYA:
Universiti Putra Malaysia (UPM) menubuhkan satu jawatankuasa siasatan dalaman bagi menyiasat isu berkaitan pengurusan anjing liar di kampus universiti itu.

UPM berkata pihaknya memandang serius setiap maklum balas serta dakwaan terhadap universiti berkait pengurusan haiwan liar.

“UPM ingin menegaskan bahawa universiti sentiasa komited memastikan setiap tindakan berkaitan pengurusan haiwan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, beretika serta mematuhi garis panduan dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan.

“Justeru UPM menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan dalaman untuk menyiasat dengan penuh teliti kejadian ini,” katanya dalam kenyataan.

UPM juga menzahirkan rasa kesal dengan insiden yang sedang tular ini dan menegaskan sama sekali tidak akan berkompromi dengan kejadian yang berlaku.

“UPM terus berusaha mengekalkan keseimbangan antara aspek keselamatan warga kampus, kebajikan haiwan serta imej dan reputasi universiti agar semua pihak mempunyai keyakinan terhadap pendekatan yang dilaksanakan,” katanya.

Terdahulu hari ini, FMT melaporkan kumpulan alam sekitar Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) mendakwa sebuah universiti membunuh 18 anjing dan lima anak anjing di kampusnya dalam dua operasi pada akhir 2024 dan awal 2025.

Naib Presiden Peka, Dr Kartini Farah Rahim, berkata pihaknya menerima banyak laporan daripada pelajar universiti itu berhubung anjing yang ditemui mati di dalam kawasan kampus.

Beliau juga berkata kumpulannya menerima laporan kakitangan universiti meracun anak anjing, dan percaya bahawa bangkai-bangkai haiwan itu ditanam di kawasan kampus.

Kartini mendakwa universiti itu melantik kontraktor, dengan memetik satu invois didakwa antara syarikat berkenaan dan universiti untuk kerja pelupusan antara 20 hingga 30 ekor anjing liar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.