19 maut, pesawat tentera terhempas di kampus di Bangladesh

19 maut, pesawat tentera terhempas di kampus di Bangladesh

Kejadian berlaku di Milestone School and College di ibu negara.

Bangladesh plane crash II AP 210725
Bomba memeriksa sisa pesawat terhempas di Dhaka. (Gambar AP)
DHAKA:
Sekurang-kurangnya 19 maut selepas pesawat latihan tentera udara Bangladesh terhempas di sebuah kampus kolej dan sekolah di Dhaka hari ini.

Lebih 50 orang termasuk kanak-kanak dan dewasa dimasukkan ke hospital dengan lecuran, menurut seorang doktor di Institut Kebangsaan Lecur dan Pembedahan Plastik kepada pemberita.

Kejadian berlaku di Milestone School and College di Uttara, Dhaka.

“Pesawat latihan tentera udara BGI F-7 Bangladesh terhempas di Uttara. Pesawat berlepas pada 1.06pm,” menurut jabatan perkhidmatan awam tentera dalam kenyataan.

Video selepas kejadian menunjukkan api besar yang menghasilkan asap tebal di kawasan padang.

“Mayat seorang pelajar gred tiga dibawa ke hospital, manakala tiga yang lain berusia 12, 14 dan 40 tahun kini dirawat,” kata Bidhan Sarker, ketua unit lecur di Dhaka Medical College and Hospital di mana segelintir mangsa dibawa.

Visual turut menunjukkan orang ramai di tempat kejadian menjerit dan menangis atau saling menenangkan.

“Saya mengambil anak-anak di pagar sekolah sebelum terasa sesuatu berlaku dari arah belakang.

“Saya terdengar letupan, apabila melihat ke belakang saya hanya nampak api dan asap,” kata Masud Tarik, seorang guru di sekolah itu.

Muhammad Yunus, ketua kerajaan interim Bangladesh berkata “tindakan sewajarnya” akan diambil untuk menyiasat punca nahas dan memberikan bantuan yang perlu.

“Kehilangan dialami tentera udara, pelajar, ibu bapa, guru, kakitangan dan semua yang lain dalam nahas ini terlalu teruk,” katanya.

Kejadian itu hanya kira-kira sebulan selepas sebuah pesawat Air India terhempas di hostel kolej perubatan di Ahmedabad, India.

Seramai 241 daripada 242 penumpang dan anak kapal pesawat maut manakala 19 lagi di darat turut meninggal dunia seterusnya menjadikan kejadian itu nahas penerbangan paling teruk dunia dalam tempoh sedekad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.