
Pengerusi Eddin Khoo berkata jawatankuasa mahu mendapatkan maklum balas daripada ahli-ahli Parlimen dalam satu pertemuan pada 16 Okt ini sebelum laporan akhir kajiannya dibentangkan.
“Saya ada sedikit tulisan yang perlu dihabiskan untuk laporan bertulis dan saya telah meminta untuk berjumpa dengan ahli-ahli Parlimen untuk konsultasi mengenai isu ini,” katanya kepada FMT.
Kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas UEC pada Okt tahun lepas bagi melaksanakan kajian terperinci sebelum memutuskan sama ada akan mengiktirif sijil yang diambil oleh para pelajar sekolah persendirian Cina.
Dilaporkan jawatankuasa itu merancang untuk membentangkan ringkasan hasil penemuan fasa pertama mereka kepada Kementerian Pendidikan Isnin lalu manakala fasa kedua iaitu laporan penuh akan diserahkan kemudian selepas pihaknya memuatkan transkrip penuh temu bual bersama pemegang taruh.
Mengulas lanjut, Eddin berkata pertemuan 16 Okt ini adalah kemuncak dan pada beliau akan mengadakan sidang media di Kementerian Pendidikan pada Jumaat berhubung penangguhan itu.
Eddin menegaskan jawatankuasa yang dipengerusikannya itu bebas, berwibawa, dan tidak dipengaruhi politik.
“Antara syarat saya tetapkan untuk mempengerusikan jawatankuasa ini sebab saya minta tidak diganggu oleh apa-apa aspek politik.
“Kita sedang menjalankan tugas dengan secara mendalam dan begitu serius. Kami mengendalikan secara ilmiah dan berfalsafah,” kata beliau.