Anwar puji mahasiswa lebih hebat bahas banding segelintir Ahli Parlimen

Anwar puji mahasiswa lebih hebat bahas banding segelintir Ahli Parlimen

Perdana menteri berkata pemimpin mahasiswa beri idea lebih segar dan berteraskan akhlak serta etika ketika berbahas.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kritikan melulu tanpa asas dan tidak berasaskan ilmu serta kefahaman mendalam terhadap isu yang dibangkitkan mencerminkan tahap perbahasan yang masih rendah.
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memuji sebilangan pemimpin mahasiswa yang dianggap beliau lebih hebat daripada segelintir Ahli Parlimen ketika berbahas dengan mengeluarkan idea yang lebih segar dan berteraskan akhlak serta etika.

Membidas sikap segelintir Ahli Parlimen yang membantah Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART 2025) dengan Amerika Syarikat, Anwar berkata kritikan melulu tanpa asas dan tidak berasaskan ilmu serta kefahaman mendalam terhadap isu yang dibangkitkan mencerminkan tahap perbahasan yang masih rendah.

“Kadang-kadang rakan-rakan di parlimen bila ada perjanjian dengan Amerika Syarikat, terus kata kita mengalah, kita dijajah. Dah baca ke belum? Faham ke tidak? Ini jadi masalah. Tahap perdebatan itu rendah.

“Saya fikir kadang-kadang pemimpin-pemimpin mahasiswa itu lebih hebat dari sebahagian Ahli Parlimen yang ada. Anak-anak pintar ini boleh kita undang khas ke Parlimen, mudah-mudahan Ahli Parlimen dengar (idea mereka),” katanya ketika berucap pada Festival of Ideas di PICC.

Anwar berkata, pemimpin politik seharusnya menilai sesuatu dasar atau perjanjian berdasarkan manfaat kepada rakyat dan negara, bukan menanam sentimen kebencian atau prejudis yang mengelirukan.

Beliau juga mengingatkan Ahli Parlimen untuk mengeluarkan pandangan yang mendorong, segar dan berteraskan akhlak serta etika ketika berbahas di parlimen dan bukannya menyinggung serta menghina kaum dan agama lain.

“Perbahasan sampai sekarang, kadang-kadang masih menyinggung, menghina kaum, menghina agama lain, dan tidak meluahkan pandangan serta lontarkan idea yang boleh membantu. Ini bukan politik yang sihat,” katanya.

Perdana menteri turut menyeru generasi muda, khususnya mahasiswa, agar menjadi pelopor kepada percambahan idea yang segar, berpaksikan nilai kebenaran, keadilan dan kemanusiaan.

“Kita sudah merdeka hampir tujuh dasawarsa, tetapi masih ada yang terperangkap dengan idea kuno dan jumud menghina kaum, memperlekeh budaya sendiri. Idea sebegitu belum merdeka.

“Saya mahu anak muda membawa idea baharu yang mengangkat martabat bangsa dan negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.