Desak isytihar harta, PAS dakwa integriti Bersih kini diragui

Desak isytihar harta, PAS dakwa integriti Bersih kini diragui

Badan pemantau pilihan raya itu kini dilihat tidak bebas, malah cenderung kepada kerajaan, kata Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dakwa Bersih cuba cipta persepsi negatif susulan pendedahan Ahli Parlimen pembangkang tak isytihar harta.
PETALING JAYA:
PAS mempersoalkan tindakan Bersih yang didakwa cuba mencipta persepsi negatif apabila mendedahkan Ahli Parlimen pembangkang gagal mengisytiharkan harta.

Membidas tindakan Bersih yang membangkitkan perkara itu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man turut mendakwa, integriti badan pemantau pilihan raya itu kini diragui kerana dilihat tidak bebas dan cenderung kepada kerajaan.

“Integriti Bersih kini diragui banyak pihak kerana dilihat lebih cenderung kepada kerajaan berbanding mempertahankan pilihan raya yang bersih dan adil,” katanya kepada FMT.

“Apa keperluan isytihar harta? Ia hanya gimik politik sempit kerana pelbagai ruang yang terdedah kepada penipuan dan penyelewengan perisytiharan harta.”

Tuan Ibrahim menegaskan, Perikatan Nasional (PN) serius dalam soal ketelusan, apabila wakil rakyatnya yang menjadi anggota pentadbiran sebelum ini telah mengisytiharkan harta.

“Saya menafikan kenyataan bahawa pembangkang tidak isytihar harta kerana sewaktu kami (PN) jadi kerajaan, pengisytiharan harta telah dibuat,” katanya.

“Kami menyokong pengisytiharan harta diwajibkan kepada parti memerintah kerana mereka lebih mudah terdedah kepada elemen rasuah dan salah guna kuasa berbanding pembangkang.”

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menjelaskan, tindakan PAS sebelum ini menentang pengisytiharan harta dibuat secara umum, namun bersetuju jika harta diisytiharkan kepada pihak berwajib termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi mengelak risiko keselamatan.

“(Bukan) didedahkan kepada umum kerana ia akan menimbulkan pelbagai kesan keselamatan kepada diri (wakil rakyat) dan keluarga sebagaimana terjadi sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Bersih Faisal Abdul Aziz, memaklumkan bahawa Ahli Parlimen pembangkang masih belum mengisytiharkan harta, meskipun desakan berulang kali dibuat oleh masyarakat umum.

Katanya, satu-satunya pihak yang berbuat demikian setakat ini ialah ahli politik PKR, dengan majoriti daripada 72 calonnya pada PRU15 mengisytiharkan harta, termasuk presiden parti, Anwar Ibrahim, isterinya Dr Wan Azizah Ismail serta timbalan presiden ketika itu, Rafizi Ramli.

“Sebelum ini, PAS pernah kata ia tidak akan mengisytiharkan harta, selari dengan prinsip-prinsip Islam,” kata Faisal, merujuk kenyataan Tuan Ibrahim pada 2019.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.