
“Sudah tentu tiada masalah untuk (wakil rakyat PN dilantik menjadi anggota pentadbiran) mengisytiharkan harta (jika PN kembali ke Putrajaya),” kata ketua whip PN itu kepada FMT.
Beliau berkata, Ahli Parlimen yang dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri harus membuat pengisytiharan harta kerana mereka tidak dibenarkan terlibat dalam kegiatan perniagaan.
Bagaimanapun, katanya, tiada keperluan untuk wakil rakyat pembangkang berbuat demikian pada masa ini kerana tidak memegang jawatan dalam kerajaan.
Beliau menambah, isytihar harta atau tidak, wakil rakyat biasa sama ada daripada pihak kerajaan atau pembangkang, yang dibenarkan menjalankan perniagaan, tetap wajib mengisytiharkan pendapatan tahunan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Sebelum ini, FMT melaporkan badan pemantau pilihan raya, Bersih, memaklumkan bahawa Ahli Parlimen pembangkang belum mengisytiharkan harta masing-masing menjelang pilihan raya, walaupun gesaan berulang kali dibuat oleh masyarakat awam.
Pengerusi Bersih Faisal Abdul Aziz berkata, hanya ahli politik PKR membuat pengisytiharan harta, iaitu sebelum PRU15 pada 2022.
Ini termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang ketika itu ketua pembangkang, isterinya, Dr Wan Azizah Ismail serta Rafizi Ramli.
Khamis lepas, Bersih turut menggesa semua calon yang akan bertanding pada PRN Sabah bulan depan supaya mengisytiharkan harta masing-masing sebagai usaha meningkatkan ketelusan, khususnya berkaitan dana dan sumber kempen yang diterima.