
Pada 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.68 peratus atau 10.78 mata kepada 1,564.12 daripada 1,574.90 yang dicatat pada Rabu.
Indeks tersebut yang dibuka susut 2.94 mata kepada 1,571.96, juga bergerak dalam jajaran 1,563.13 dan 1,572.04 sepanjang dagangan hari ini.
Sentimen pasaran suram dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 500 berbanding 299 manakala 420 kaunter tidak berubah, 756 tidak didagangkan dan 19 lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.17 bilion saham bernilai RM1.45 bilion daripada 1.85 bilion saham bernilai RM1.44 bilion, semalam.
Indeks Perladangan Minyak Sawit FBM yang menyaksikan jualan ketara semalam bagaimanapun menokok 1.18 peratus atau 134.44 mata kepada 11,487.39, hari ini.
Ketua Penyelidikan firma broker ekuiti dalam talian Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee berkata indeks penanda aras itu menjejaki prestasi semalaman Dow Jones yang terjejas susulan pengumuman data pembuatan terbaharu Amerika Syarikat (AS).
“Data itu menunjukkan berlakunya kelembapan. Ini merupakan reaksi berturutan berikutan aliran penurunan dialami ekonomi utama dan mengheret turun kebanyakan indeks serantau selain menjejaskan bursa tempatan yang mencecah paras terendah dalam tempoh empat tahun,” katanya kepada Bernama.
Di peringkat tempatan, Yee berkata para pelabur juga mengharapkan pemangkin positif sambil menunggu pembentangan Belanjawan 2020 yang dijadual dibentangkan pada 11 Oktober ini.
“Semua tertumpu kepada pengumuman belanjawan tersebut. Namun, kami juga berharap FBM KLCI akan bergerak lebih tinggi ke arah paras 1,580 esok berikutan niaga hadapan pasaran ekuiti AS ketika ini mencatatkan dagangan lebih tinggi (pada pembukaan),” katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank rugi lima sen kepada RM8.48, Tenaga turun dua sen kepada RM13.58, Public Bank susut 42 sen kepada RM19.28 manakala PChem naik satu sen kepada RM7.46 dan IHH menokok tiga sen kepada RM5.67 .
Bagi saham aktif, Sumatec susut satu sen kepada satu sen, VSolar sebaliknya tidak berubah pada 7.5 sen manakala Armada naik 1.5 sen kepada 32.5 sen.
Indeks FBM Emas merosot 72.64 mata kepada 11,077.29, Indeks FBMT 100 kehilangan 74.44 mata kepada 10,906.60 dan Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 53.55 mata kepada 11,665.83.
FBM 70 pula merosot 91.26 mata kepada 13,794.88 namun FBM ACE menokok 39.49 mata kepada 4,555.53.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 143.97 mata kepada 15,079.34, Indeks Perladangan kehilangan 33.05 mata kepada 6,636.28 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri berkurangan 0.40 mata kepada 152.17.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama menokok kepada 1.29 bilion unit bernilai RM1.31 bilion daripada 1.04 bilion unit bernilai RM1.30 bilion yang dicatatkan pada Rabu.
Selain itu, jumlah waran meningkat kepada 368.30 juta bernilai RM72.87 juta daripada 256.05 juta bernilai RM46.43 juta, semalam.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan kepada 511.62 juta saham bernilai RM69.47 juta daripada 552.70 juta saham bernilai RM85.38 juta pada Rabu.
Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sejumlah 171.11 juta saham didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan industri (176.83 juta), pembinaan (64.45 juta), teknologi (98.93 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (31.19 juta), hartanah (77.06 juta), perladangan (16.12 juta), REIT (21.34 juta), dana tertutup (34,000), tenaga (496.97 juta), penjagaan kesihatan (11.79 juta), telekomunikasi dan media (90.33 juta), pengangkutan dan logistik (27.00 juta) dan utiliti (14.31 juta).