
Hasnah Toran dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, KPM perlu memberi perhatian kepada penyediaan kandungan silibus berkenaan, dengan pelaksanaannya perlu sesuai dengan tahap usia tujuh tahun.
Beliau pada dasarnya bersetuju elemen TVET diperkenalkan di peringkat sekolah rendah bagaimanapun mahu kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) turut diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajarannya.
“Okey kalau nak perkenalkan TVET pada Tahun 1 asalkan kandungan sesuai dengan usia dan isu membaca (3M) boleh diterap merentas kurikulum.
“Bagaimanapun, isu terbesar yang KPM akan hadapi ialah guru-guru sendiri. Sebab, bukan saja murid menjadi tikus putih, guru-guru pun merasakan mereka jadi tikus putih,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata murid sekolah rendah akan diperkenalkan elemen TVET menerusi pembelajaran bersepadu menggabungkan pelbagai disiplin ilmu dalam bidang sains, teknologi, digital, seni visual, muzik dan pendidikan kesihatan.
“Seterusnya bagi murid Tahun 5 dan 6, mereka akan mempelajari pembelajaran asas disiplin ilmu TVET seperti teknologi, sains rumah tangga, kejuruteraan, pengaturcaraan dan pertanian.
“Pembelajaran dilaksana berasaskan projek yang membolehkan murid mengetahui, memahami dan meneroka aplikasi teknologi serta digital dalam pelbagai bidang,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Hasnah berkata KPM perlu melaksanakan kurikulum TVET dengan pendekatan lebih menarik dan boleh diterima baik oleh guru bagi memastikan keberkesanannya.
“KPM perlu beri jaminan kepada guru bahawa kandungan baru ini tidak membebankan tugas sedia ada guru. KPM perlu ‘roll out’ idea ini dengan cara ianya boleh diterima baik oleh guru,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Amir Asyraf Sabri, berkata langkah tersebut mampu melahirkan generasi muda berkemahiran tinggi dan berdaya saing, selain berpotensi menangani isu asas 3M.
“Dengan pendekatan pembelajaran yang lebih praktikal dan berasaskan kemahiran, TVET dapat membantu pelajar yang kurang berminat dalam pendekatan akademik tradisional untuk meningkatkan kemahiran asas mereka.
“Penerapan awal elemen TVET dijangka dapat membekalkan pelajar dengan pemahaman serta kemahiran asas dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan disiplin lain yang semakin relevan dalam era ekonomi moden,” katanya.